Sirah: Riwayat Hidup Nabi Muhammad SAW
Matlamat bab ini
- Murid boleh menyatakan biodata Nabi Muhammad SAW dan menceritakan riwayat hidup baginda bermula dari kelahiran baginda (5.1.1)
- Murid boleh menjelaskan peristiwa penting sebelum dan selepas kerasulan Nabi Muhammad SAW (5.1.2)
- Murid boleh menerangkan akhlak Rasulullah SAW dalam peristiwa sebelum kerasulan (5.1.3)
- Murid boleh menghuraikan iktibar daripada peristiwa Israk dan Mikraj serta hijrah Nabi Muhammad SAW (5.1.4)
- Murid boleh mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan (5.1.5)
- Murid boleh menjelaskan sumbangan Nabi Muhammad SAW terhadap pembentukan tamadun Islam, peristiwa kewafatan baginda dan tanda cinta kepada baginda (5.1.6)
Topik ini ialah permulaan bidang Sirah سيرة. Kita belajar riwayat hidup Nabi Muhammad SAW روايت هيدوڤ نبي محمد ﷺ (pelajaran 24): biodata baginda, peristiwa penting sebelum dan selepas kerasulan, jasa baginda dan kewafatan baginda.
14.1Biodata Nabi Muhammad SAW بيوداتا نبي محمد ﷺ
| Perkara | Biodata |
|---|---|
| Nama نام | Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim |
| Nama lain | Ahmad, al-Mahi, al-Hasyir, al-'Aqib |
| Gelaran ڬلرن | al-Amin الأمين |
| Tarikh dan tempat lahir | 12 Rabiulawal, Tahun Gajah, di Makkah |
| Kunyah كنية | Abu al-Qasim أبو القاسم |
| Ibu | Aminah binti Wahab |
| Ibu susuan ايبو سوسوان | Thuwaibah al-Aslamiyyah, Halimah al-Sa'diyyah |
| Pengasuh ڤڠاسوه | al-Syaima', Ummu Aiman |
| Isteri | Khadijah binti Khuwailid, Saudah binti Zam'ah, Aisyah binti Abu Bakar, Hafsah binti Umar, Zainab binti Khuzaimah, Juwairiyah binti al-Harith, Zainab binti Jahsy, Ummu Salamah binti Abu Umayyah, Safiyyah binti Huyai, Ummu Habibah binti Abu Sufyan, Maimunah binti al-Harith, Mariah al-Qibtiyyah (radiallahu 'anhunna) |
| Anak | al-Qasim, Abdullah, Ibrahim, Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah (7 orang) |
| Tarikh dan tempat wafat | 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah, di Madinah |


Buku teks Pendidikan Islam Tingkatan 1, ms. 142.
Salasilah keturunan سلسيله كتورونن
Keturunan sebelah bapa dan ibu Nabi Muhammad SAW bertemu pada Kilab.
| Sebelah bapa | Sebelah ibu |
|---|---|
| Nabi Muhammad SAW → Abdullah → Abdul Muttalib → Hasyim → Abdul Manaf → Qusai → Kilab | Nabi Muhammad SAW → Aminah → Wahab → Abdul Manaf → Zuhrah → Kilab |

Buku teks, ms. 142.
Sifat fizikal Nabi Muhammad SAW صيفت فيزيكل نبي محمد ﷺ
- Rupa paras yang amat tampan, sederhana tinggi dan berbadan tegap.
- Rambut baginda ikal mayang dan sentiasa kelihatan berminyak.
- Sentiasa kelihatan ceria dan segak.
- Mata baginda hitam pekat dan bulu mata baginda lentik.
Para sahabat yang menceritakan rupa paras baginda pasti berkata, "Aku tidak pernah melihat orang lain yang setanding dengan ketampanan Nabi Muhammad SAW."
Buku teks, ms. 142. Nilai: cinta kepada Rasulullah SAW.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
14.2Peristiwa sebelum kerasulan سبلوم كرسولن
Seluruh kehidupan Nabi Muhammad SAW menjadi contoh teladan kepada umat Islam. Peristiwa penting dalam sirah baginda perlu kita hayati dan contohi.
Kronologi zaman kanak-kanak hingga 20 tahun
| Umur | Tempoh | Peristiwa |
|---|---|---|
| Selepas kelahiran | 2 tahun | Dipelihara oleh Halimah al-Sa'diyyah di perkampungan Bani Sa'd yang jauh daripada unsur negatif. |
| 2–4 tahun | Dada baginda dibedah oleh malaikat Jibril. | |
| 4–6 tahun | 2 tahun | Tinggal bersama ibu. Ketika berumur 6 tahun, baginda dibawa melawat kubur bapa baginda di Madinah. Ibu baginda meninggal di Abwa' dalam perjalanan pulang ke Makkah. |
| 6–8 tahun | 2 tahun | Dipelihara oleh datuk, Abdul Muttalib, hingga datuk meninggal dunia. Selepas itu, baginda tinggal dengan bapa saudara, Abu Talib. |
| 12 tahun | Mengikut Abu Talib ke Syam. Di bandar Busra, Abu Talib mendapat nasihat daripada Buhaira al-Rahib supaya membawa pulang Nabi SAW ke Makkah kerana bimbang dibunuh oleh orang Yahudi. | |
| 20 tahun | Bersama bapa-bapa saudara menyaksikan Hilf al-Fudul حلف الفضول, iaitu perjanjian untuk membela orang yang teraniaya dalam perniagaan. | |
| Menggembala kambing bersama saudara susuan di perkampungan Bani Sa'd, kemudian di Makkah. |
Buku teks, ms. 143.
Iktibar اعتبار
Nabi Muhammad SAW dididik oleh Allah SWT dengan kehidupan yang mencabar sebagai persediaan untuk dilantik menjadi rasul yang agung.
25 tahun: berdagang ke Syam برداڬڠ كشام
- Baginda berurus niaga dengan Saidatina Khadijah RA, wanita Quraisy yang sangat berharta dan berhati mulia.
- Baginda membawa barang dagangan Khadijah ke Syam dengan dibantu oleh Maisarah, pekerja lelaki Khadijah.
- Baginda berniaga dengan penuh jujur dan amanah, lalu membawa pulang keuntungan yang lumayan berkat ketekunan dan kemahiran baginda.
Iktibar: sifat kemuliaan Nabi Muhammad SAW
25 tahun: berkahwin dengan Saidatina Khadijah RA بركهوين دڠن سيدتنا خديجة
- Selepas Nabi SAW pulang kali kedua dari Syam, Khadijah RA membuat keputusan untuk berkahwin dengan baginda.
- Hatinya terpikat kerana pengalaman berurusan dengan baginda dan kemuliaan akhlak baginda yang diceritakan oleh Maisarah.
- Khadijah RA menghantar kawan rapatnya, Nafisah binti Munabbih, untuk menyatakan hasrat itu.
- Nabi SAW menerima hasrat itu dan meminang Khadijah RA melalui bapa saudaranya, Amru bin Asad.
- Hasil perkahwinan ini, baginda dikurniai enam orang anak.
Iktibar: akhlak yang menarik perhatian Saidatina Khadijah RA
Buku teks, ms. 144.
35 tahun: peristiwa peletakan Hajar al-Aswad ڤريستيوا ڤلتقن حجر الأسود
| Langkah | Apa yang berlaku |
|---|---|
| 1. Masalah | Makkah dilanda banjir besar sehingga meruntuhkan dinding Kaabah. Kabilah Arab berpakat membaikinya dan Nabi SAW turut membantu. |
| 2. Perbalahan | Ketua-ketua kabilah berbalah tentang siapa yang akan meletakkan semula Hajar al-Aswad di penjuru Kaabah, hingga hampir berlaku pertumpahan darah. |
| 3. Cadangan | Abu Umayyah al-Makhzumi mencadangkan: terima keputusan orang pertama yang masuk melalui pintu Bani Syaibah. Cadangan diterima sebulat suara. |
| 4. Orang pertama | Dengan takdir Allah SWT, orang pertama ialah Nabi Muhammad SAW. Semua berkata, "Dialah al-Sadiq al-Amin الصادق الأمين (orang yang benar lagi amanah)." |
| 5. Penyelesaian | Baginda menghamparkan rida' (selendang), meletakkan Hajar al-Aswad di tengah-tengahnya, meminta ketua-ketua kabilah memegang hujung rida' dan membawanya beramai-ramai ke penjuru Kaabah. Lalu baginda mengambil Hajar al-Aswad dan meletakkannya di tempat asal. |
| 6. Kesudahan | Majlis berjalan lancar dan semua yang hadir berpuas hati. |
Pengajaran daripada kisah ini: Nabi Muhammad SAW
- bersifat tawaduk
- turut serta dalam aktiviti kemasyarakatan
- menerima amanah dengan penuh tanggungjawab
- menyelesaikan masalah masyarakat dengan bijaksana
- mendamaikan kehidupan masyarakat
Buku teks, ms. 145.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
14.3Peristiwa selepas kerasulan سلڤس كرسولن
40 tahun: menerima wahyu pertama منريما وحي ڤرتام
- Era kerasulan bermula ketika baginda berumur 40 tahun.
- Baginda suka bersendirian di Gua Hira' ڬوا حراء untuk beribadat dan memikirkan cara menyelamatkan umat daripada kesesatan jahiliah.
- Pada suatu hari dalam bulan Ramadan, baginda didatangi malaikat Jibril AS.
- Jibril AS memeluk erat Nabi SAW tiga kali dan menyuruh baginda membaca. Setiap kali, baginda menjawab, "Saya tidak tahu membaca."
- Akhirnya Jibril AS mengajar Nabi SAW wahyu pertama:

Terjemahan (buku teks)
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk). Dia mencipta manusia daripada segumpal darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahui.
Ayat al-Quran dan terjemahan: buku teks, ms. 146.
Selepas menerima perintah Allah SWT untuk menyampaikan dakwah, baginda berdakwah dengan gigih dan sabar. Dakwah baginda mendapat sambutan daripada masyarakat Arab, terutama hamba abdi dan golongan yang lemah. Namun begitu, ada juga yang menentang.
| Orang pertama yang beriman dan menyokong dakwah baginda | |
|---|---|
| Isteri baginda | Saidatina Khadijah RA |
| Sahabat karib baginda | Saidina Abu Bakar RA |
| Sepupu baginda yang masih kecil | Saidina Ali bin Abu Talib RA |
Pengajaran: Nabi Muhammad SAW
- tidak suka dengan kesesatan masyarakat
- beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT untuk memohon petunjuk
- menunaikan amanah untuk menyampaikan dakwah
- bersabar dan istiqamah menyampaikan dakwah
Buku teks, ms. 146.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
51 tahun: Israk dan Mikraj اسراء دان معراج
Saidatina Khadijah RA sentiasa setia mempertahankan dakwah Nabi SAW. Bapa saudara baginda, Abu Talib, juga membela baginda walaupun beliau tidak memeluk Islam. Kematian mereka berdua menyebabkan Nabi SAW berdukacita. Kedukaan baginda terubat apabila baginda dibawa menyaksikan tanda-tanda kebesaran Allah SWT dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
| Urutan | Peristiwa |
|---|---|
| 1 | Dibawa pada waktu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin (Israk). |
| 2 | Dalam perjalanan, baginda ditunjukkan pelbagai gambaran yang akan berlaku kepada umat baginda. |
| 3 | Baginda menjadi imam solat kepada para nabi di Masjidil Aqsa. |
| 4 | Baginda dibawa mikraj merentasi tujuh lapisan langit hingga ke Sidratul Muntaha سدرة المنتهى. |
| 5 | Baginda menghadap Allah SWT dan menerima kefarduan solat lima waktu. |
| 6 | Baginda turun ke Makkah sebelum subuh dan menceritakan pengalaman baginda kepada penduduk Makkah. |

Terjemahan (buku teks)
Jabir bin Abdullah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila orang Quraisy mendustakanku, aku berdiri di Hijr Ismail lalu Allah SWT memperlihatkan kepadaku Baitulmaqdis. Lantas aku menceritakan kepada mereka sifat-sifat Baitulmaqdis sambil melihat kepadanya.
Hadis dan terjemahan: buku teks, ms. 147.
Iktibar: peristiwa Israk dan Mikraj menunjukkan Nabi Muhammad SAW
- menjalani Israk dan Mikraj dengan roh dan jasad
- rasul terakhir yang membawa ajaran tauhid seperti ajaran para rasul sebelum baginda
- menerima kefarduan solat secara terus daripada Allah SWT, sebagai ibadat yang paling utama dalam Islam
- mendapat pertolongan Allah SWT ketika menyampaikan kebenaran
53 tahun: hijrah ke Madinah dan pembentukan negara Islam هجره كمدينة دان ڤمبنتوقن نڬارا إسلام
- Orang kafir Makkah menghalang dakwah dengan pelbagai cara. Ada sahabat yang diseksa dan dibunuh.
- Nabi SAW mendapat perintah Allah SWT untuk berhijrah bersama para sahabat ke Madinah (Yathrib), 13 tahun selepas kerasulan.
- Baginda berhijrah bersama Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA. Dengan perancangan yang rapi, mereka tiba di Madinah dengan selamat.
- Sebelum itu, baginda singgah di Quba' dan membina masjid yang pertama di sana.
| Di Madinah: pemerintahan berteraskan wahyu | |
|---|---|
| 1 | Membina Masjid Nabawi مسجد نبوي |
| 2 | Mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan kaum Ansar |
| 3 | Menggubal Piagam Madinah ڤياڬم مدينة sebagai asas pembentukan negara |
Musuh cuba menggugat keamanan Madinah. Nabi SAW bersama kaum Muhajirin dan Ansar mempertahankan Madinah dengan semangat juang yang hebat. Antara peperangan yang dipimpin oleh baginda: Badar, Uhud, Khaibar, Pembukaan Makkah dan Hunain.
| Jenis peperangan | Maksud | Bilangan |
|---|---|---|
| Ghazwah غزوة | Pasukan tentera Islam yang dipimpin sendiri oleh Nabi SAW | 28 |
| Sariyyah سرية | Pasukan tentera Islam yang tidak disertai Nabi SAW; baginda melantik seorang ketua (amir) | 54 |
| Jumlah semua peperangan | 82 | |
Pengajaran daripada hijrah dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW
- Nabi SAW sanggup berkorban demi menegakkan agama Allah SWT.
- Baginda menyampaikan Islam dengan sempurna dan penuh amanah.
- Baginda membentuk pemerintahan yang adil berteraskan wahyu.
- Negara Islam Madinah menjadi model negara Islam terbaik.
Buku teks, ms. 148.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
14.4Jasa Nabi Muhammad SAW tiada tolok banding جاس نبي محمد ﷺ تياد تولوق بنديڠ
Terlalu banyak sumbangan Nabi Muhammad SAW kepada tamadun Islam. Antaranya:
Iktibar
- Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar.
- Kehidupan baginda dipenuhi dengan perjuangan dan pengorbanan demi ketinggian agama Islam.
- Baginda membentuk tamadun yang seimbang dan sempurna yang menjadi asas kecemerlangan tamadun hari ini.
- Umat manusia amat terhutang budi dengan jasa Nabi Muhammad SAW yang tiada tolok banding.
Buku teks, ms. 149.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
14.5Kewafatan Rasulullah SAW dan tanda cinta kepada baginda كوفاتن رسول الله ﷺ
- Setelah sempurna menjalankan tugas sebagai rasul, pada waktu dhuha, hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah, Nabi Muhammad SAW dijemput kembali menemui Penciptanya.
- Baginda wafat pada umur 63 tahun, di rumah Saidatina Aisyah RA.
- Berita duka ini menggemparkan penduduk Madinah.
- Jasad baginda yang mulia dimakamkan di rumah Saidatina Aisyah RA.

Buku teks, ms. 149.
Tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW
Setiap muslim wajib mencintai Nabi Muhammad SAW. Antara tanda cinta kepada baginda:
- Mengikuti sunnah Nabi SAW, mematuhi perintah dan menjauhi larangan baginda.
- Sentiasa merindui baginda.
- Memuliakan dan bertawaduk apabila mendengar nama Nabi SAW dengan berselawat ke atas baginda.
- Mencintai ahl al-bait (orang yang ada pertalian keluarga dengan baginda) dan para sahabat (orang beriman yang sempat bertemu Nabi SAW).
Berselawat kepada Nabi SAW adalah antara bukti kecintaan kita kepada baginda. Selawat dalam buku teks:

Kunci Ilmu, buku teks, ms. 149–150.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Rumusan روموسن
| Umur | Peristiwa | Isi penting |
|---|---|---|
| Lahir | 12 Rabiulawal, Tahun Gajah, Makkah | Ibu Aminah binti Wahab; gelaran al-Amin; kunyah Abu al-Qasim |
| 0–2 | Di Bani Sa'd | Dipelihara Halimah al-Sa'diyyah |
| 2–4 | Dada dibedah | Oleh malaikat Jibril |
| 6 | Ibu wafat | Di Abwa', pulang dari menziarahi kubur bapa di Madinah |
| 6–8 | Dipelihara datuk | Abdul Muttalib, kemudian bapa saudara Abu Talib |
| 12 | Ke Syam bersama Abu Talib | Nasihat Buhaira al-Rahib di Busra |
| 20 | Hilf al-Fudul; menggembala kambing | Membela orang yang teraniaya dalam perniagaan |
| 25 | Berdagang ke Syam; berkahwin dengan Khadijah RA | Dibantu Maisarah; jujur dan amanah; 6 anak bersama Khadijah RA |
| 35 | Peletakan Hajar al-Aswad | Rida'; al-Sadiq al-Amin; bijaksana mendamaikan |
| 40 | Wahyu pertama | Gua Hira', Ramadan, Jibril AS, al-'Alaq 1–5 |
| 51 | Israk dan Mikraj | Masjidil Haram → Masjidil Aqsa → Sidratul Muntaha; solat lima waktu |
| 53 | Hijrah ke Madinah | Bersama Abu Bakar RA; Masjid Quba'; Masjid Nabawi; Muhajirin–Ansar; Piagam Madinah |
| 63 | Wafat | Dhuha, Isnin, 12 Rabiulawal 11 H, rumah Aisyah RA, Madinah |