Agama dan Kepercayaan
What this chapter coversMatlamat bab ini
- Murid boleh menyatakan pelbagai agama dan kepercayaan masyarakat di Malaysia (11.2.1)
- Murid boleh menghubungkait kepentingan amalan agama dan kepercayaan dalam kehidupan (K11.2.6)
- Murid boleh menyatakan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan (11.2.2)
- Murid boleh menyatakan kedudukan agama lain dalam Perlembagaan Persekutuan (11.2.3)
- Murid boleh menghuraikan kepentingan menghormati kepelbagaian agama dan kepercayaan bagi mewujudkan perpaduan (K11.2.7)
- Murid boleh menyenaraikan nama rumah-rumah ibadat di Malaysia (11.2.4)
- Murid boleh menyatakan kepentingan memahami adab ketika berada di rumah ibadat (K11.2.5)
5.1Agama dan kepercayaan di Malaysia
Malaysia ialah negara yang unik. Rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan hidup aman sejahtera. Rakyat juga menganut pelbagai agama dan kepercayaan.
Agama di Malaysia
Agama di Malaysia ialah Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh. Terdapat juga ajaran Konfusius dan ajaran Tao. Agama ini tersebar melalui peranan pemerintah, pedagang dan golongan agama.
| Agama atau ajaran | Perkara penting | Kitab atau buku |
|---|---|---|
| Islam | Menyembah Allah Yang Maha Esa. Dua teras kepercayaan: Rukun Islam dan Rukun Iman. Merangkumi segala aspek kehidupan. | al-Quran dan Hadis |
| Kristian | Percaya agama ini dibawa oleh Jesus Christ. Hari Ahad dikhaskan untuk aktiviti keagamaan di gereja. | Bible |
| Buddha | Ajaran diasaskan oleh Siddharta Gautama (Buddha). Berasaskan Empat Kebenaran Mulia yang dicapai melalui Jalan Lapan Lapis Mulia. | Tipitaka |
| Hindu | Percaya Hukum Karma (kelakuan manusia semasa hidup) dan kelahiran semula selepas mati. | Veda |
| Sikh | Diasaskan oleh Guru Nanak. Penganutnya kaum Sikh. Percaya kepada satu Tuhan, iaitu Waheguru. | Sri Guru Granth Sahib |
| Ajaran Konfusius | Diasaskan oleh Kung Fu Tze. Menekankan prinsip moral: perikemanusiaan, kesusilaan dan ketaatan kepada ibu bapa. | Buku Analek |
| Ajaran Tao | Diasaskan oleh Lao Tzu. Tao bermaksud “jalan”. Percaya kepada keharmonian hidup dengan alam semesta. | Tao Te Ching |
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Kepercayaan masyarakat di Malaysia
Ada rakyat Malaysia yang mengamalkan kepercayaan masing-masing. Kepercayaan mereka dipengaruhi oleh alam semesta.
| Masyarakat | Kepercayaan dan upacara |
|---|---|
| Orang Asli (Semenanjung Malaysia) | Percaya penyakit disebabkan oleh kuasa jahat. Suku Mah Meri di Pulau Carey mengadakan upacara Puja Pantai untuk mendapatkan perlindungan dan pengampunan daripada semangat laut. Suku Temiar dan Semai mengadakan upacara ritual untuk menghalau kuasa jahat. |
| Iban (Sarawak) | Percaya Petara (dewa) menyampaikan alamat dan petanda melalui mimpi dan bayangan. Petara dipuja melalui upacara Miring, dimulai dengan jampi mantera dan dilakukan oleh penyair yang dikenali sebagai Lemambang. |
| Bisaya (Sarawak) | Petani yang mempercayai kuasa ghaib. Jampi mantera dibaca semasa membuka kawasan pertanian baharu. Upacara Tamarok dijalankan untuk menghalau kuasa ghaib daripada badan pesakit. |
| Bajau (Sabah) | Upacara Ngeduang (Kota Belud, pantai barat): keluarga si mati menjamu makanan kepada tetamu sebagai sedekah. Upacara Mag’ombo (Semporna, pantai timur): menghargai dan menghormati warisan nenek moyang agar kehidupan dirahmati. |
| Kadazandusun (Sabah) | Percaya Kinorohingan, iaitu Tuhan untuk meminta keselamatan dan perlindungan. Percaya semangat padi melalui upacara Magavau (Maga’au), diketuai ketua bomoh yang dikenali sebagai Bobohizan. |
Buku teks Sejarah Tahun 6 SK, ms. 78-83.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
5.2Agama Islam dalam Perlembagaan
Agama Islam diakui sebagai agama Persekutuan setelah parti-parti politik dan pertubuhan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Perlembagaan Tanah Melayu 1957. Kedudukannya termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Buku teks Sejarah Tahun 6 SK, ms. 84.
| Perkara | Kandungan |
|---|---|
| 3 (1) | Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. |
| 3 (2) | Di negeri yang mempunyai Raja, Raja ialah Ketua Agama Islam di negerinya. |
| 3 (3) | Di Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Agama Islam di negeri itu. |
| 3 (5) | Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. |
Kita perlu menghormati peruntukan perlembagaan ini agar persefahaman dan perpaduan rakyat dapat dikekalkan.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
5.3Kedudukan agama lain dalam Perlembagaan
Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Rakyat berhak mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.

Buku teks Sejarah Tahun 6 SK, ms. 85.
| Perkara | Kandungan |
|---|---|
| 11 (1) | Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk pada fasal (4) mengembangkannya. |
| 11 (3) (a) | Tiap-tiap kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri. |
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
5.4Rumah ibadat di Malaysia
Setiap agama mempunyai rumah ibadat masing-masing. Rumah ibadat berfungsi sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti keagamaan. Seni binanya mempunyai pelbagai bentuk dan pengaruh.
| Agama | Rumah ibadat |
|---|---|
| Islam | Masjid |
| Kristian | Gereja |
| Buddha | Tokong atau wat |
| Konfusius dan Tao | Tokong |
| Hindu | Kuil |
| Sikh | Gurdwara |

Buku teks Sejarah Tahun 6 SK, ms. 89.
Rumah ibadat penganut Islam

Buku teks Sejarah Tahun 6 SK, ms. 86.
| Masjid | Maklumat penting |
|---|---|
| Masjid Negara, Kuala Lumpur | Dibina pada tahun 1963 dan dirasmikan pada 27 Ogos 1965. Seni binanya gabungan ciri moden, Islam dan tempatan. Boleh menampung 15 000 jemaah. Melambangkan perpaduan, toleransi dan keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. |
| Masjid Kampung Laut, Kelantan | Dibina pada abad ke-18. Antara masjid tertua di Alam Melayu. Terletak di Kampung Nilam Puri, Kota Bharu. Seni binanya berunsurkan ciri Alam Melayu. |
| Masjid Al-Qadim, Sibu, Sarawak | Dibina pada tahun 1830 oleh Tuan Haji Salam Minangkabau, ulama dari Sumatera. Reka bentuknya seperti Masjid Agung Demak, Jawa Tengah, Indonesia. |
Rumah ibadat penganut Kristian

Buku teks Sejarah Tahun 6 SK, ms. 87.
- Gereja St. Michael, Sandakan, Sabah: dibina pada tahun 1893. Gereja tertua di Sabah dan gereja granit tertua di Malaysia.
Rumah ibadat penganut Buddha, Konfusius dan Tao

Buku teks Sejarah Tahun 6 SK, ms. 87.
| Rumah ibadat | Maklumat penting |
|---|---|
| Wat Boonyaram, Padang Sera, Kedah | Dibina pada tahun 1932. Rumah ibadat masyarakat Siam beragama Buddha di Kedah dan Perlis. Antara wat terbesar di Kedah. Terletak di Kodiang, Kubang Pasu. |
| Tokong Cheng Hoon Teng, Melaka | Dibina pada tahun 1645. Cheng Hoon Teng bermaksud “Kediaman di Awan Hijau”. Digunakan oleh penganut Buddha dan Tao dalam upacara keagamaan. |
Rumah ibadat penganut Hindu dan Sikh

Buku teks Sejarah Tahun 6 SK, ms. 88.
| Rumah ibadat | Maklumat penting |
|---|---|
| Kuil Arulmigu Sri Rajakaliamman, Johor Bahru | Dibina pada tahun 1922 di Jalan Tebrau. Dibina semula daripada kaca pada tahun 1996. Tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai kuil kaca pertama dan hanya satu di Malaysia. |
| Wadda Gurdwara Sahib, Pulau Pinang | Dibina pada tahun 1901. Nama asalnya Diamond Jubilee Sikh Temple. Seni binanya berasaskan seni bina Moor dan moden. Dijadikan tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan. |
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
5.5Cinta akan negara
Setiap agama menuntut penganutnya menjadi insan yang berbudi pekerti baik dan mempunyai nilai kasih sayang sesama insan. Agama mendidik manusia menghargai keamanan dan kedamaian hidup.
- Diri: sentiasa patuh kepada ajaran agama supaya menjadi individu yang lebih bertimbang rasa.
- Masyarakat: individu yang bertimbang rasa akan melahirkan masyarakat yang harmoni.
- Negara: masyarakat yang harmoni mampu mewujudkan kesejahteraan negara.
Nilai teras sivik unit ini: hormat-menghormati dan kasih sayang.