myUASAUlang kaji UASA
Pendidikan Islam nota, topik 15

Sirah: Era Masyarakat Jahiliah; Khulafa al-Rasyidin

Buku teks Pendidikan Islam Tingkatan 1 KSSM, halaman 151–160

Matlamat bab ini

  • Murid boleh menyatakan maksud jahiliah (5.2.1)
  • Murid boleh menjelaskan keadaan masyarakat Arab sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW dari segi akidah (5.2.2)
  • Murid boleh menjelaskan keadaan masyarakat Arab sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW dari segi akhlak (5.2.3)
  • Murid boleh menerangkan sebab Rasulullah SAW diutuskan kepada masyarakat jahiliah (5.2.4)
  • Murid boleh menerangkan riwayat hidup Khulafa al-Rasyidin (5.3.1)
  • Murid boleh menjelaskan sifat-sifat peribadi Khulafa al-Rasyidin (5.3.2)
  • Murid boleh menjelaskan sumbangan Khulafa al-Rasyidin (5.3.3)
  • Murid boleh menghuraikan pengajaran daripada perjuangan Khulafa al-Rasyidin dan mencontohi sifat mereka (5.3.4–5.3.5)

Topik ini ialah bidang Sirah سيرة. Kita belajar dua pelajaran: era masyarakat jahiliah ايرا مشاركت جاهيلية (pelajaran 25) dan keunggulan perjuangan Khulafa al-Rasyidin كأوڠڬولن ڤرجواڠن خلفاء الراشدين (pelajaran 26).

15.1Maksud jahiliah مقصود جاهيلية

Jahiliah berasal daripada perkataan Arab "jahala" yang bermaksud tidak tahu, bodoh atau jahil.
جاهيلية براصل درڤد ڤركاتاءن عرب "جَهَلَ" يڠ برمقصود تيدق تاهو، بودوه اتاو جاهيل.

Perkataan jahiliah digunakan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:

Sepotong ayat surah al-Ahzab, ayat 33, seperti dalam buku teks
Surah al-Ahzab, 33: ayat 33

Terjemahan (buku teks)

Dan hendaklah kamu tinggal di rumah kamu dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang jahiliah pada zaman dahulu...

Ayat al-Quran dan terjemahan: buku teks Pendidikan Islam Tingkatan 1, ms. 151.

Kejahilan masyarakat Arab ketika itu bukan bermaksud mereka tidak berilmu. Mereka terkenal dengan kehebatan bersyair dan berqasidah. Namun begitu, mereka jahil akidah dan jahil akhlak.

Jenis kejahilanKeadaan
Jahil akidah جاهيل عقيدةMereka menganut ajaran Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS tetapi mencampuradukkannya dengan penyembahan berhala, amalan sihir dan khurafat.
Jahil akhlak جاهيل اخلاقMereka banyak melakukan perilaku buruk seperti suka menindas perempuan dan hamba, berjudi serta minum arak.

Buku teks, ms. 151.

Jahiliah bukan bermaksud orang Arab tidak pandai langsung. Mereka hebat bersyair. Mereka jahil dari segi akidah dan akhlak.
Masyarakat Arab terkenal dengan kehebatan bersyair. Mengapakah mereka tetap digelar masyarakat jahiliah?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Kerana mereka jahil akidah (mencampuradukkan ajaran Nabi Ibrahim AS dengan penyembahan berhala, sihir dan khurafat) dan jahil akhlak (menindas perempuan dan hamba, berjudi, minum arak).

15.2Masyarakat Arab dari segi akidah مشاركت عرب دري سڬي عقيدة

Sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW, masyarakat Arab menganut banyak agama dan ajaran.

Agama / kepercayaanFakta penting
Agama Hanif اڬام حنيفPada mulanya majoriti masyarakat Arab beragama Hanif. Dibawa oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Agama samawi, sama seperti Islam.
Persamaan dengan Islam: percaya kepada Allah SWT, Tuhan yang satu; percaya kepada hari kebangkitan dan hidup sesudah mati; percaya kepada dosa dan pahala.
Ajaran yang diteruskan dalam syariat Islam: ibadat korban, ibadat haji dan umrah.
Agama Yahudi اڬام يهوديAgama samawi yang diubah suai daripada ajaran Nabi Musa AS mengikut keinginan para penganutnya. Mereka banyak membunuh para nabi dan menolak ajaran Nabi Muhammad SAW. Mereka datang dari Palestin ke negara Arab.
Agama Nasrani اڬام نصرانيAgama samawi yang diubah suai daripada ajaran Nabi Isa AS. Mereka mempercayai Nabi Isa AS sebagai anak tuhan. Mereka datang dari Habsyah dan Rom.
Abrahah, raja Nasrani, membina tempat ibadat baharu di Yaman untuk menyaingi Kaabah, namun gagal dengan pertolongan Allah SWT (kisah dalam surah al-Fil).
Agama penyembahan berhala اڬام ڤڽمبهن برهالاMula diperkenalkan oleh Amru bin Amir bin Luhai (Amru bin Luhai), pemimpin Khuza'ah. Dia membawa ajaran ini dari negeri Syam, lalu membawa berhala bernama "Hubal" ke Mekah dan meletakkannya di dalam Kaabah.
Agama ini dicampuradukkan dengan agama Hanif sehingga menjadi agama yang mensyirikkan Allah SWT. Ia disebarkan ketika musim haji.
Ketika pembukaan Kota Mekah, ada 360 berhala di sekitar Kaabah. Semuanya dimusnahkan oleh baginda dan para sahabat.
Kepercayaan Majusi كڤرچاياءن مجوسيDianuti oleh golongan penyembah api. Pada malam kelahiran Rasulullah SAW, api yang disembah oleh penganut Majusi di Parsi telah padam. Api itu tidak pernah padam selama 1000 tahun sebelumnya.
Kepercayaan animisme كڤرچاياءن انيميسمىKepercayaan bahawa setiap benda mempunyai roh dan semangat. Penganutnya menyembah alam seperti matahari, bintang dan pokok.

Buku teks, ms. 152.

Tiga agama samawi dalam jadual: Hanif (Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS), Yahudi (Nabi Musa AS), Nasrani (Nabi Isa AS). Yahudi dan Nasrani sudah diubah suai oleh penganutnya.
Jangan tertukar Majusi (sembah api) dengan animisme (setiap benda ada roh dan semangat; sembah matahari, bintang, pokok).
Siapakah yang mula memperkenalkan penyembahan berhala kepada masyarakat Mekah? Apakah nama berhala yang dibawanya?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Amru bin Luhai, pemimpin Khuza'ah. Dia membawa berhala bernama Hubal dari negeri Syam dan meletakkannya di dalam Kaabah.

15.3Masyarakat Arab dari segi akhlak مشاركت عرب دري سڬي اخلاق

Masyarakat Arab jahiliah terkenal dengan perilaku buruk. Namun, mereka juga mempunyai perilaku baik. Perilaku baik itu diiktiraf sebagai akhlak mahmudah dalam Islam.

Akhlak buruk اخلاق بوروقAkhlak baik اخلاق باءيق
Berjudi dan minum arakMenepati janji
Penzinaan dan pelacuran berleluasaBerani, kuat dan pantang menyerah kalah
Mengamalkan bigamiMenjaga kebersihan mulut dan kuku
Pewarisan harta hanya pada lelakiTidak mengahwini mereka yang ada pertalian darah
Membunuh anak perempuanMenghormati tetamu
Mengamalkan tenung nasibTaat kepada pemimpin
Berperang kerana perkara yang kecilMenghormati bulan haram

Buku teks, ms. 153.

Ingat: 7 akhlak buruk dan 7 akhlak baik. Soalan selalu meminta kita mengasingkan senarai ini.
Kelaskan: (a) menghormati bulan haram, (b) mengamalkan tenung nasib.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
(a) Akhlak baik. (b) Akhlak buruk.

15.4Pengutusan Rasulullah SAW kepada masyarakat jahiliah ڤڠوتوسن رسول الله ﷺ كڤد مشاركت جاهيلية

SebabHuraian (buku teks)
1. Membimbing masyarakat yang mempunyai nilai negatifMasyarakat jahiliah suka berjudi, berzina, minum arak serta merendahkan martabat wanita. Mereka juga mengamalkan khurafat.
Rasulullah SAW membawa ajaran yang memandu mereka ke jalan yang benar. Baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.
Mereka lebih mudah dilentur kerana buta huruf. Hal ini menjadi bukti kerasulan Nabi Muhammad SAW kerana baginda tidak pernah membaca atau mempelajari kitab agama samawi dan ajaran agama purba.
2. Kedudukan yang strategikSemenanjung Arab terletak di antara empat kuasa besar dunia: Rom, Parsi, Greek dan India. Kedudukan ini menjadikan Islam mudah tersebar ke seluruh tamadun dunia dan pelbagai bangsa.

Kunci ilmu: sebab lain Rasulullah SAW diutuskan kepada masyarakat Arab

  • Adanya Kaabah yang dikunjungi untuk tujuan ibadat.
  • Keistimewaan bahasa dan budaya Arab.

Buku teks, ms. 153.

Kunci ilmu (ms. 154): tamadun Islam berkembang kerana iman yang tinggi, budaya amal soleh, ketinggian ilmu dan hikmah, perubahan (islah) yang sesuai dengan zaman dan jihad mempertahankan ketamadunan daripada serangan musuh.
Bagaimanakah buta huruf masyarakat Arab menjadi bukti kerasulan Nabi Muhammad SAW?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Baginda tidak pernah membaca atau mempelajari kitab agama samawi dan ajaran agama purba. Jadi ajaran yang dibawa baginda ialah wahyu daripada Allah SWT, bukan disalin daripada kitab lain.

15.5Siapakah Khulafa al-Rasyidin? خلفاء الراشدين

Khulafa al-Rasyidin ialah gelaran yang diberikan kepada empat orang sahabat Rasulullah SAW yang memegang jawatan pemerintah kerajaan Islam selepas kewafatan baginda.
KhalifahTempoh pemerintahan
1. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq RA أبو بكر الصديق11–13H / 632–634M
2. Khalifah Umar bin al-Khattab RA عمر بن الخطاب13–23H / 634–644M
3. Khalifah Uthman bin Affan RA عثمان بن عفان23–35H / 644–656M
4. Khalifah Ali bin Abu Talib RA علي بن أبو طالب35–40H / 656–661M

Keistimewaan mereka:

  • Golongan yang terpilih untuk menyambung gagasan dan kepimpinan Rasulullah SAW.
  • Sentiasa berdamping dengan Rasulullah SAW sewaktu hidup baginda.
  • Mempunyai hubungan kerabat dengan baginda.
  • Corak pemerintahan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah serta menitikberatkan konsep syura yang diwarisi daripada Rasulullah SAW.
  • Pemerintahan mereka berpusat di Madinah, lebih kurang 29 tahun.
Peta empayar Islam pada zaman Rasulullah SAW dan zaman Khulafa al-Rasyidin
Empayar Islam: warna ungu pada zaman Rasulullah SAW; warna biru pada zaman Khulafa al-Rasyidin (Syria, Mesir, Parsi, Armenia).

Buku teks, ms. 155.

Ingat urutan khalifah: A-U-U-A: Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali.

15.6Biodata dan riwayat hidup بيوداتا دان روايت هيدوڤ

PerkaraAbu Bakar al-Siddiq RAUmar bin al-Khattab RAUthman bin Affan RAAli bin Abu Talib RA
Nama penuhAbdullah bin Uthman bin Amir bin Amru bin Ka'ab bin Sa'ad bin Taim bin Murrah bin Ka'abUmar bin al-Khattab bin Nufail bin Abdul UzzaUthman bin Affan bin Abu al-'As bin Umayyah bin Abdu Syams bin Abdu Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka'abAli bin Abu Talib bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdu Manaf
Tempat lahirMekahMekahMekahMekah
Tahun lahir572 M, dua tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW584 M, 13 tahun selepas kelahiran Rasulullah SAW576 M599 M
KeturunanBani Taim, QuraisyBani 'Adi, QuraisyBani Umayyah, QuraisyBani Hasyim, Quraisy
Nama ibuUmmul Khair Salma binti SakhrHantamah binti HasyimArwa binti KuraizFatimah binti Asad
Gelaran"Atiq" (bebas daripada api neraka) dan "al-Siddiq" (orang yang paling benar dalam kata-katanya)"al-Faruq" (pemisah antara hak dengan batil)"Zun Nurain" (yang memiliki dua cahaya) kerana berkahwin dengan dua puteri Rasulullah SAW, iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum"Abu Turab" (bapa si tanah)
Fakta lain---Sewaktu kecil diambil sebagai anak angkat oleh Nabi SAW. Berkahwin dengan Fatimah al-Zahra', puteri Rasulullah SAW.
WafatTahun 13 Hijrah, usia 63 tahun. Dimakamkan di sisi Rasulullah SAW.Tahun 23 Hijrah, usia 63 tahun, akibat ditikam oleh Abu Lu'lu'ah Fairuz al-Farisi (hamba kepada al-Mughirah bin Syu'bah). Dimakamkan di sisi Saidina Abu Bakar RA.Tahun 35 Hijrah, usia 80 tahun, kerana dibunuh oleh pemberontak. Dimakamkan di Perkuburan al-Baqi'.Syahid kerana ditikam oleh Abdul Rahman bin Muljam pada malam 17 Ramadan tahun 40 Hijrah.

Buku teks, ms. 156.

Abu Bakar RA dan Umar RA sama-sama wafat pada usia 63 tahun dan dimakamkan berhampiran Rasulullah SAW. Uthman RA dimakamkan di al-Baqi'.
Mengapakah Saidina Uthman bin Affan RA digelar "Zun Nurain"?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
"Zun Nurain" bermaksud yang memiliki dua cahaya, kerana beliau berkahwin dengan dua puteri Rasulullah SAW, iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum.

15.7Sifat-sifat peribadi صيفت٢ ڤريبادي

Setiap khalifah mempunyai ciri dan sifat yang penuh kemuliaan. Keperibadian mereka tidak terbanding oleh manusia biasa. Keempat-empat khalifah telah dijanjikan syurga oleh Rasulullah SAW.

Khalifah pertama: Abu Bakar al-Siddiq RA

  • Sangat pemurah: membeli dan memerdekakan hamba yang diseksa seperti Bilal bin Rabah dan Ammar bin Yasir. Rasulullah SAW memuji: "Saya tidak tahu, adakah masih ada orang yang melebihi Abu Bakar dari segi kemurahan hati".
  • Berani: selalu membela Rasulullah SAW yang cuba dibunuh oleh kaum baginda semasa di Mekah.
  • Hartawan yang dermawan; banyak membelanjakan harta ke jalan Allah SWT.
  • Cinta akan kebenaran; semangat setiakawan yang tinggi.
  • Lembut hati; mudah menangis terutama ketika membaca al-Quran.

Khalifah kedua: Umar bin al-Khattab RA

  • Berperwatakan keras, suka beradu kekuatan dan sangat cekap menunggang kuda.
  • Sangat berani: berhijrah pada waktu siang dan secara terang-terangan.
  • Kecerdasan luar biasa: banyak pendapat beliau bertepatan dengan firman Allah SWT.
  • Berpengetahuan tinggi serta cukup agamanya.

Khalifah ketiga: Uthman bin Affan RA

  • Sangat pemalu dan lemah lembut. Rasulullah SAW bersabda: "Tidakkah engkau malu kepada lelaki yang malaikat sendiri malu kepadanya?"
  • Dermawan dan pemurah: banyak menderma untuk perang Tabuk, membeli perigi Rumah untuk umat Islam, menderma 1000 ekor unta dengan muatan kepada umat Islam yang susah.
  • Suka membantu orang dalam kesusahan, khususnya kaum keluarga dan sanak saudara terdekat.

Khalifah keempat: Ali bin Abu Talib RA

  • Panglima perang yang berani dan gagah perkasa. Dalam perang Khandaq, beliau berlawan satu lawan satu dengan pahlawan Quraisy, Amru bin Abdu Wud al-'Amiri, dan berjaya menewaskannya.
  • Pandai berpidato, handal bermain pedang, memanah dan menunggang kuda.
  • Pandai menulis dan membaca sehingga dilantik menjadi salah seorang penulis wahyu.
  • Sangat pintar: mahir dalam faraid, al-Quran, hukum-hukum syarak, bahasa dan sastera; kuat ingatan sehingga menghafaz seluruh al-Quran.

Buku teks, ms. 157.

Khalifah manakah yang membebaskan Bilal bin Rabah? Sifat apakah yang ditunjukkan?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Khalifah Abu Bakar al-Siddiq RA. Sifat sangat pemurah.

15.8Sumbangan Khulafa al-Rasyidin سومبڠن خلفاء الراشدين

Khalifah Abu Bakar al-Siddiq RA

BidangSumbangan
PolitikMeneruskan cita-cita Rasulullah SAW menghantar pasukan Usamah bin Zaid ke sempadan negeri Syam untuk memerangi kerajaan Rom Timur (Byzantine).
AgamaMemerangi golongan yang enggan membayar zakat, golongan murtad dan nabi palsu. Membentuk 11 pasukan angkatan perang untuk menghadapi kaum murtad yang memberontak.
Selepas perang Yamamah, ramai tentera Islam syahid termasuk para penghafaz al-Quran. Atas nasihat Saidina Umar RA, beliau mengarahkan Zaid bin Thabit mengetuai usaha menghimpunkan al-Quran yang tertulis pada batu, kulit haiwan, daun dan hafazan para hafiz.
Salinan itu disimpan oleh Abu Bakar RA, Saidina Umar RA, Saidina Uthman RA dan Hafsah (isteri Nabi Muhammad SAW).

Khalifah Umar bin al-Khattab RA

Zaman Umar RA dianggap zaman keemasan kerajaan Khulafa al-Rasyidin kerana banyak pembaharuan. Ia juga zaman perluasan wilayah Islam.

PolitikSosialEkonomiKetenteraan
• Menubuhkan Majlis Syura
• Membahagikan jajahan Islam kepada beberapa wilayah, ditadbir oleh gabenor
• Menubuhkan jabatan tentera, jabatan polis, jabatan percukaian dan jabatan perbendaharaan negara
• Menetapkan wang sara hidup kepada rakyat berdasarkan keutamaan dan perjuangan mereka
• Mengasaskan takwim Islam
• Memperkenalkan undang-undang pentadbiran tanah
• Menubuhkan Baitulmal
• Memperkenalkan pelbagai jenis cukai seperti jizyah dan kharaj
• Membina terusan dan tali air untuk mengairi kawasan pertanian
• Mengemas kini angkatan tentera
• Memberi gaji kepada gabenor dan tentera yang berjuang

Buku teks, ms. 158.

Khalifah Uthman bin Affan RA

BidangSumbangan
SosialBerusaha meningkatkan pendapatan rakyat dengan memberi peluang pekerjaan.
PolitikMemperkenalkan sistem protokol dalam pentadbiran.
Mengukuhkan peranan Baitulmal untuk membiayai pembangunan negara.
KetenteraanMengukuhkan pertahanan negara dengan membina angkatan tentera laut bagi membasmi pemberontakan dan penaklukan.
AgamaMembentuk jawatankuasa untuk menyalin semula ayat al-Quran yang dikenali sebagai "Mushaf Uthmani".
Memperkenalkan azan kedua pada hari Jumaat dan mengambil zakat berdasarkan nilai mata wang.
Membeli tanah untuk membesarkan Masjid Nabawi.
Gambar naskhah al-Quran lama yang ditulis tanpa baris
Penulisan al-Quran tanpa baris pada zaman Saidina Uthman RA.

Khalifah Ali bin Abu Talib RA

Beliau berhadapan dengan krisis dalaman negara sehingga menjejaskan tumpuan kepada pembangunan negara. Namun, beliau telah:

BidangTindakan
SosialBerusaha mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara.
KetenteraanMembina markas tentera di Parsi dan di sempadan Syria.
EkonomiMeneruskan kutipan jizyah.

Buku teks, ms. 159.

Keempat-empat khalifah menunjukkan corak kepimpinan yang bertanggungjawab. Mereka berjuang untuk kemaslahatan dan kesejahteraan hidup rakyat jelata.

Jangan tertukar: Abu Bakar RA menghimpunkan al-Quran (selepas perang Yamamah, oleh Zaid bin Thabit). Uthman RA menyalin semula al-Quran menjadi Mushaf Uthmani. Umar RA menubuhkan Baitulmal; Uthman RA mengukuhkan peranannya.
Khalifah manakah yang mengasaskan takwim Islam dan menubuhkan Majlis Syura?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Khalifah Umar bin al-Khattab RA.

15.9Pengajaran ڤڠاجرن

  1. Umat Islam hendaklah mencontohi semangat perjuangan dan sifat mulia para sahabat agar diredai Allah SWT.
  2. Umat Islam perlu bersikap berani menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan yang menyesatkan.
  3. Umat Islam perlu sanggup berkorban tenaga, harta dan nyawa untuk kepentingan agama.
  4. Kita perlulah mentaati dan menghargai sumbangan pemimpin Islam yang banyak berjasa.

Buku teks, ms. 160.

Mencontohi sifat khalifah sebagai murid

  • Pemurah seperti Abu Bakar RA dan Uthman RA: berkongsi makanan atau alat tulis dengan rakan yang susah.
  • Berani seperti Umar RA: menegur perbuatan salah dengan cara yang baik.
  • Rajin menuntut ilmu seperti Ali RA: membaca, menulis dan menghafaz al-Quran.
Nyatakan dua pengajaran daripada perjuangan Khulafa al-Rasyidin.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Mana-mana dua: mencontohi semangat perjuangan dan sifat mulia para sahabat; berani menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan; sanggup berkorban tenaga, harta dan nyawa untuk agama; mentaati dan menghargai sumbangan pemimpin Islam.

Rumusan روموسن

PerkaraIsi penting
JahiliahDaripada "jahala": tidak tahu, bodoh atau jahil. Jahil akidah dan jahil akhlak (bukan tidak berilmu). Dalil: al-Ahzab, ayat 33.
Akidah masyarakat ArabHanif (Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS), Yahudi (Nabi Musa AS), Nasrani (Nabi Isa AS), penyembahan berhala (Amru bin Luhai, Hubal, 360 berhala), Majusi (api), animisme (roh dan semangat).
Akhlak masyarakat ArabBuruk: judi, arak, zina, bigami, harta hanya untuk lelaki, bunuh anak perempuan, tenung nasib, perang kerana perkara kecil. Baik: tepati janji, berani, bersih mulut dan kuku, tidak kahwin pertalian darah, hormat tetamu, taat pemimpin, hormat bulan haram.
Sebab Rasulullah SAW diutuskanMembimbing masyarakat bernilai negatif dan menyempurnakan akhlak; kedudukan strategik di antara Rom, Parsi, Greek dan India. Lain: Kaabah; keistimewaan bahasa dan budaya Arab.
Khulafa al-RasyidinAbu Bakar (11–13H), Umar (13–23H), Uthman (23–35H), Ali (35–40H). Berpusat di Madinah, kira-kira 29 tahun.
GelaranAtiq dan al-Siddiq; al-Faruq; Zun Nurain; Abu Turab.
Sifat utamaAbu Bakar: pemurah, berani. Umar: berani, cerdas. Uthman: pemalu, dermawan. Ali: panglima berani, pintar, penulis wahyu.
Sumbangan utamaAbu Bakar: perangi murtad dan nabi palsu, himpun al-Quran. Umar: Majlis Syura, Baitulmal, takwim Islam, jizyah dan kharaj. Uthman: Mushaf Uthmani, tentera laut, azan kedua Jumaat. Ali: markas tentera di Parsi dan sempadan Syria, teruskan kutipan jizyah.
PengajaranContohi perjuangan sahabat; berani menegakkan kebenaran; sanggup berkorban; taati dan hargai pemimpin.