Lakaran
Matlamat bab ini
- Murid boleh menyenaraikan peranan lakaran dalam reka bentuk (4.1.1)
- Murid boleh mengenal pasti teknik lakaran piktorial, iaitu lakaran oblik, isometrik dan perspektif (4.1.2)
- Murid boleh menghasilkan lakaran asas produk dalam bentuk 3D berdasarkan 2D (4.1.3)
- Murid boleh memilih lakaran produk terbaik berdasarkan elemen reka bentuk (4.1.4)
- Murid boleh menilai maklumat yang ada pada lakaran yang dipilih (4.1.5)
- Murid boleh mencadangkan penambahbaikan ke atas lakaran yang dipilih (4.1.6)
Lakaran piktorial memberikan gambaran sesuatu objek melalui tiga pandangan, iaitu pandangan atas (pelan), pandangan sisi dan pandangan hadapan.
4.1.1Peranan lakaran dalam reka bentuk
Apakah lakaran?
Lakaran merupakan contengan berbentuk garisan, gambar dan simbol bahasa yang menerangkan sesuatu perkara. Sejak zaman purba, manusia melakar pada dinding gua untuk menzahirkan pengalaman, pertemuan dan peristiwa penting dalam kehidupan mereka.
- Lakaran dijadikan gambaran awal bagi menunjukkan rupa atau bentuk sesuatu produk.
- Lakaran membolehkan komunikasi antara pereka bentuk dengan pembuat produk dalam bentuk grafik dan tulisan.
- Alatan asas untuk melakar: pensel, arang, pastel kapur, pen penanda (marker pen) dan pen.
- Pensel yang sesuai untuk lakaran ialah pensel 2B dan 4B.
- Lakaran juga boleh dihasilkan dengan komputer, tetapi memerlukan kemahiran yang tinggi.
Proses lakaran bermula daripada contengan idea, kemudian perincian konsep asas, perincian visual dan akhirnya lakaran lengkap. Kini, perisian Reka Bentuk Berbantu Komputer atau Computer Aided Design (CAD) juga digunakan.
Lima peranan utama lakaran
| Peranan | Maksud |
|---|---|
| A. Mempercepat pembangunan konsep | Kaedah terbaik untuk meneroka konsep. Menjimatkan masa kerana pereka hanya melakar konsep di atas kertas, kemudian memindahkannya ke dalam komputer. |
| B. Asas komposisi untuk ilustrasi | Kaedah yang cepat dan pantas untuk menunjukkan komposisi komponen dalam ilustrasi awal sesuatu reka bentuk. |
| C. Medium komunikasi pelanggan | Lakaran dihantar kepada pelanggan untuk pertimbangan dan persetujuan. Setelah dimuktamadkan, reka bentuk ke peringkat lakaran akhir. |
| D. Eksplorasi visual | Lakaran digunakan sebagai catatan aktiviti dan eksplorasi pereka, contohnya beberapa pilihan visual lampu dan tayar. |
| E. Penyelesaian perincian visual | Lakaran diperincikan dengan menambah elemen berasaskan prinsip reka bentuk. Penerangan tentang elemen, prinsip dan bahan memudahkan pembangunan reka bentuk. |
Contoh: mempercepat pembangunan konsep
Murid menghadapi masalah membawa beg sekolah yang berat. Pereka melakar tiga konsep beg sekolah dengan cepat:
- Konsep A: ruang penyimpanan lebih luas, roda besar untuk menarik beban, pemegang besar.
- Konsep B: lebih ergonomik, roda lebih kecil dan pemegang yang boleh berputar.
- Konsep C: ruang penyimpanan tambahan di bahagian hadapan untuk mengurangkan beban menggalas di belakang.



Lakaran: buku teks RBT Tingkatan 1, Rajah 4.1–4.3, ms. 69–70.


Asas komposisi untuk ilustrasi: buku teks, Rajah 4.4, ms. 70.


Buku teks, Gambar 4.1 dan 4.2, ms. 71.


Buku teks, Gambar 4.3 dan 4.4, ms. 72.
Jenis-jenis lakaran
| Jenis lakaran | Ciri |
|---|---|
| i. Lakaran peribadi atau contengan | Tidak kemas, tidak tersusun dan dilukis di dalam buku lakaran. Penting untuk penyediaan konsep produk. |
| ii. Lakaran penerokaan | Lebih kemas. Dilakar untuk dibuat perbandingan dengan produk yang sedia ada dari segi bentuk, saiz, bahan dan sebagainya. |
| iii. Lakaran teknikal | Menggambarkan lakaran ceraian, keratan rentas dan pelbagai sudut pandangan. Mengandungi perincian dimensi. |
| iv. Lakaran perkembangan idea | Menunjukkan kesemua lakaran objek bermula daripada idea pertama hingga ke objek terakhir yang hendak dibuat. |
| v. Lakaran persembahan | Membantu pelanggan memahami konsep rekaan yang ingin disampaikan oleh pereka. |
| vi. Lakaran digital | Melakar dengan alatan (gadget) dan aplikasi terkini, contohnya Corel Painter dan Autodesk Sketchbook, supaya hasil dan persembahan lebih menarik. |





Buku teks, ms. 73.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
4.1.2Teknik lakaran piktorial
Lakaran piktorial memaparkan imej 3D yang memudahkan pereka menggambarkan bentuk atau mentafsir lukisan. Terdapat tiga teknik lakaran piktorial:
A. Kaedah asas lakaran: melakar garisan lurus
Teknik melakar garisan lurus memastikan garisan tidak tersasar dari titik yang dikehendaki. Terdapat dua kaedah:
| (a) Kaedah garisan pendek | (b) Kaedah garisan terus dua titik |
|---|---|
|
|


Buku teks, Rajah 4.5 dan 4.6, ms. 74–75.
B. Lakaran oblik
- Lakaran oblik bergantung kepada jenis kavalier atau kabinet.
- Dilakar berpandukan tiga paksi asas, iaitu paksi menegak, paksi surut dan paksi mendatar.
- Paksi surut adalah cenderung kepada paksi mendatar. Sudut yang digunakan ialah 45°.
- Paksi mendatar adalah bersudut tepat dengan paksi menegak.
| Oblik kavalier | Oblik kabinet | |
|---|---|---|
| Ukuran pada paksi surut (lebar) | Ukuran sebenar | ½ ukuran sebenar |
| Contoh: kotak lebar 60 mm | dilakar 60 mm | dilakar 30 mm |


Buku teks, Rajah 4.7, ms. 75 dan langkah melakar oblik kavalier, ms. 76.
Langkah melakar oblik kavalier
- Lakarkan paksi mendatar (X), paksi menegak (Y) dan paksi surut (Z) bersudut 45°.
- Tandakan ukuran panjang pada paksi mendatar (A), tinggi pada paksi menegak (B) dan lebar pada paksi surut (C).
- Lakarkan garisan selari dengan AO dari titik B (garisan BE) dan garisan selari dengan OC dari titik B (garisan BD).
- Lakarkan garisan AE, CD, DF dan EF supaya bentuk kotak lengkap.
- Legapkan semua garisan objek sehingga terbentuk kotak oblik kavalier.
C. Lakaran isometrik


Buku teks, Rajah 4.9 dan 4.10, ms. 77.
Langkah melakar isometrik dari pandangan atas
- Lakarkan paksi isometrik. Tandakan tinggi objek (A) pada paksi Y, lebar (B) pada paksi Z dan panjang (C) pada paksi X.
- Bina garisan selari OB dari titik A (garisan AD) dan garisan selari OC dari titik A (garisan AE).
- Lakarkan garisan selari OB dari titik C (garisan CF) dan garisan selari OC dari titik B (garisan BF).
- Bina garisan selari OA dari titik B (garisan BD) dan dari titik C (garisan CE).
- Legapkan semua garisan objek sehingga terbentuk kotak isometrik.

Buku teks, ms. 78.

Buku teks, ms. 79.
D. Lakaran perspektif
- Boleh dihasilkan melalui kaedah satu titik, dua titik dan tiga titik.
- Kaedah paling lazim untuk mempersembahkan imej kepada pelanggan, terutamanya objek yang besar dan panjang seperti bangunan dan jalan raya.

Buku teks, Rajah 4.11, ms. 79.
Elemen lakaran perspektif
| Elemen | Fungsi |
|---|---|
| Garis ufuk (GU) | Menunjukkan aras penglihatan mata, sama ada di bawah, separas atau di atas. |
| Garis bumi (GB) | Menjadi tapak objek. |
| Titik lenyap (TL) | Titik di garis ufuk tempat semua garisan perspektif bertemu. |
| Garisan perspektif | Garisan yang diunjurkan dari objek ke titik lenyap. |


Buku teks, Rajah 4.12 dan 4.14, ms. 80.
Langkah melakar perspektif satu titik (di bawah aras mata)
- Bina garis bumi (GB).
- Bina garis ufuk (GU). Tentukan titik lenyap (TL) di sebelah kanan garis ufuk.
- Bina pandangan hadapan dan tandakan pepenjuru dengan huruf ABCD di atas garis bumi.
- Unjurkan setiap pepenjuru pandangan hadapan dengan garisan perspektif ke titik lenyap (TL).
- Tentukan lebar objek dan tandakan titik E dari titik A. Unjurkan garisan selari AB dari E (garisan EF) dan selari BC dari F (garisan FG).
- Legapkan garisan pembinaan objek sehingga menjadi lakaran perspektif.
Perspektif dua titik dan tiga titik


Buku teks, ms. 83 dan Rajah 4.15, ms. 85.
- Perspektif dua titik: mempunyai dua titik lenyap di atas garis ufuk (TL 1 dan TL 2). Mula dengan garisan menegak AB (tinggi objek) pada garis bumi, kemudian unjurkan garisan dari A dan B ke TL 1 dan TL 2. Bergantung pada kedudukan objek diletakkan.
- Perspektif tiga titik: TL 1 dan TL 2 di atas garis ufuk, TL 3 pada garisan menegak (di bawah garis ufuk bagi objek di bawah aras mata). Kedudukan TL 1, TL 2 dan TL 3 tidak semestinya simetri.
E. Lakaran bulatan, lengkungan dan elips
Tidak semua objek bergaris lurus. Lakaran bulatan, lengkungan dan elips diperlukan untuk melakar objek berbentuk silinder, sfera dan kon.
| Langkah melakar bulatan | Langkah melakar elips |
|---|---|
|
|


Buku teks, Rajah 4.16 dan 4.17, ms. 86.
F. Lakaran silinder dan kon
Silinder dan kon dilakar dalam kotak isometrik. Elips dilakar pada garisan pepenjuru dan garis tengah kotak, kemudian hujung elips disambungkan dan garisan objek dilegapkan.

Buku teks, ms. 87.
G. Gaya visual lakaran
Gaya visual lakaran ialah teknik untuk menjadikan lakaran objek lebih realistik dan menarik. Dua teknik ialah rendering dan kesan cahaya dan bayang.
Alatan rendering: pensel warna, pen penanda (marker pen), highlighter pen, pen, dakwat dan pastel kapur (chalk pastel).


Buku teks, Rajah 4.18 dan 4.19, ms. 88–89.
| Bahagian lakaran | Cara melakar |
|---|---|
| Kawasan terkena cahaya | Warna terang atau putih berbanding kawasan lain |
| Kawasan terlindung daripada cahaya | Ton yang gelap |
| Kesan bayang | Warna gelap, juga dilakar di atas permukaan lantai supaya lakaran tidak kelihatan terapung di udara |


Buku teks, Rajah 4.20, ms. 90 dan Contoh lakaran 1, ms. 91.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
4.1.3Lakaran asas produk dalam bentuk 3D berdasarkan 2D
Teknik lakaran piktorial boleh digunakan untuk menghasilkan lakaran asas produk. Berdasarkan lakaran 2D, kita boleh menghasilkan lakaran 3D.
| Lakaran 2D | Lakaran 3D |
|---|---|
| Terdiri daripada satu pandangan sahaja: pandangan atas (pelan), pandangan hadapan atau pandangan sisi. | Memberikan gambaran sebenar objek yang ingin dibina. |
| Dilihat pada satu arah dan tidak berstruktur. | Mempunyai lebih daripada satu permukaan. |
| Ukuran bergantung pada sudut pandangan: panjang dan lebar, panjang dan tinggi, atau lebar dan tinggi. | Menunjukkan tiga ukuran dimensi: panjang, lebar dan tinggi. |


Buku teks, Rajah 4.21 dan 4.22, ms. 92.
Contoh: daripada tiga pandangan 2D kepada lakaran 3D
Sebuah rak buku mempunyai tapak dan dinding belakang. Setiap pandangan 2D menunjukkan dua ukuran sahaja. Apabila digabungkan, kita dapat melakar rak itu secara isometrik.
- Pandangan hadapan: garisan melintang ialah tepi atas tapak, di hadapan dinding.
- Pandangan atas (pelan): garisan melintang ialah permukaan hadapan dinding.
- Pandangan sisi: berbentuk L kerana dinding lebih tinggi daripada tapak.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
4.1.4Pemilihan lakaran produk terbaik berdasarkan elemen reka bentuk
Lakaran terbaik dipilih selepas menilai beberapa lakaran. Lakaran yang terhasil mempunyai persamaan dan perbezaan dari segi elemen. Pemilihan dibuat berdasarkan elemen reka bentuk, iaitu garisan, bentuk, tekstur, saiz, warna dan arah.

Buku teks, ms. 93.
| Elemen | Produk A | Produk B | Produk C |
|---|---|---|---|
| Garisan | Kurang garisan | Banyak garisan | Garisan kasar dijadikan corak |
| Bentuk | Kubah | Kubah | Kubah |
| Tekstur | Sederhana licin | Licin | Kasar |
| Saiz | Sederhana | Sederhana besar | Kecil |
| Warna | Merah (warna panas) | Ungu (warna sejuk) | Kombinasi warna panas dan sejuk |
| Ruang | Besar antara garisan | Kecil antara garisan | Kecil dalam petak |
Jadual 4.1 Analisis elemen lakaran produk, buku teks ms. 94.
A. Kriteria pemilihan lakaran
- Menarik perhatian pelanggan.
- Warna seimbang dan sesuai.
- Bentuk mudah dihasilkan.
- Mempunyai nilai estetika.
- Maklumat lakaran lengkap.
B. Borang penilaian pelanggan
Lakaran terbaik juga boleh dipilih dengan mengedarkan Borang Penilaian Pelanggan kepada pelanggan atau pengguna. Kaedah ini merupakan cara terbaik untuk mendapatkan pandangan dan pendapat mereka.
- Kumpulan sasaran ditetapkan terlebih dahulu berdasarkan umur dan jantina.
- Maklumat yang diperoleh membantu pereka memilih lakaran terbaik berdasarkan kriteria pemilihan lakaran.
- Pastikan borang diisi dengan lengkap sebelum dihantar semula.

Buku teks, ms. 95.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
4.1.5Penilaian maklumat yang ada pada lakaran yang dipilih
Cita rasa pengguna sentiasa berubah mengikut trend semasa. Pereka perlu peka terhadap perubahan keperluan dan kehendak pengguna. Penilaian terhadap reka bentuk produk sedia ada di pasaran membantu pereka mengenal pasti cita rasa terkini pengguna.

Buku teks, Rajah 4.23, ms. 96.
| Maklumat pada lakaran | Contoh: topi A |
|---|---|
| 1. Bahan yang digunakan | Kain felt lembut |
| 2. Penyambungan yang digunakan | Menggunakan jahitan mesin |
| 3. Jenis kemasan produk | Butang kecil di atas kepala |
| 4. Fungsi produk | Menutupi kepala |
| 5. Elemen yang digunakan | Garisan, warna, bentuk, ruang, saiz dan tekstur |
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
4.1.6Penambahbaikan pada lakaran yang dipilih
Lakaran yang terpilih sebagai terbaik akan ditambah baik. Tujuan penambahbaikan:
| Tujuan | Penerangan |
|---|---|
| 1. Memenuhi cita rasa pengguna terkini | Produk perlu berubah dari semasa ke semasa dari segi rupa atau fungsinya. |
| 2. Mengikut trend semasa | Sesuatu reka bentuk tidak bertahan lama. Perubahan dibuat mengikut keadaan dan situasi semasa. |
| 3. Menyaingi produk-produk yang ada dalam pasaran | Terdapat lambakan produk yang sama. Pereka mesti mampu bersaing dari segi rekaan terkini. |
| 4. Mengikut kehendak pasaran semasa | Rekaan yang mengikut kehendak semasa mendapat permintaan yang tinggi. |

Buku teks, Rajah 4.24, ms. 97.
| Penambahbaikan pada topi | Apa yang dibuat |
|---|---|
| Keceriaan | Menambah logo |
| Keselesaan | Menggunakan net untuk pengudaraan yang lebih baik |
| Mudah guna | Menggantikan fabrik felt dengan fabrik denim |
| Penambahan elemen | Warna kontras |
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Rumusan
- Lakaran ialah lukisan awal atau lukisan draf secara lakaran bebas tanpa alat melukis. Pensel sesuai: 2B dan 4B.
- Peranan lakaran: mempercepat pembangunan konsep, asas komposisi untuk ilustrasi, medium komunikasi pelanggan, eksplorasi visual dan penyelesaian perincian visual.
- Jenis lakaran: peribadi atau contengan, penerokaan, teknikal, perkembangan idea, persembahan dan digital.
- Tiga teknik lakaran piktorial: oblik, isometrik dan perspektif.
- Lakaran oblik: paksi surut 45°; jenis kavalier (lebar sebenar) dan kabinet (½ lebar).
- Lakaran isometrik: tiga paksi 120° setiap satu; dua paksi 30° di kiri dan kanan paksi mendatar.
- Lakaran perspektif: satu, dua atau tiga titik; elemen utama garis ufuk (GU) dan garis bumi (GB), dengan titik lenyap (TL) di garis ufuk.
- Gaya visual lakaran: rendering serta kesan cahaya dan bayang.
- Lakaran 2D: satu pandangan; lakaran 3D: panjang, lebar dan tinggi, lebih daripada satu permukaan.
- Elemen pemilihan lakaran: garisan, bentuk, tekstur, saiz, warna dan arah. Lima kriteria: menarik perhatian pelanggan, warna seimbang dan sesuai, bentuk mudah dihasilkan, nilai estetika, maklumat lakaran lengkap.
- Maklumat yang dinilai: bahan, penyambungan, jenis kemasan, fungsi dan elemen.
- Penambahbaikan: menambah elemen reka bentuk, bahan yang lebih baik, menukar bentuk lakaran dan menambah fungsi produk.