myUASAUlang kaji UASA
Pendidikan Islam nota, topik 18

Akhlak: Syukur Pemupuk Iman; Adab Berkomunikasi

Buku teks Pendidikan Islam Tingkatan 3 KSSM, halaman 197–208

Matlamat bab ini

  • Murid boleh menjelaskan maksud syukur dari segi bahasa dan istilah (6.12.1)
  • Murid boleh menyatakan dalil naqli tentang sifat syukur daripada al-Quran dan hadis (6.12.2)
  • Murid boleh menjelaskan contoh sifat syukur Rasulullah SAW (6.12.3)
  • Murid boleh menerangkan cara bersyukur melalui hati, lisan dan perbuatan serta ciri orang yang bersyukur (6.12.4, 6.12.5)
  • Murid boleh menghuraikan hikmah bersyukur dan mengamalkan sifat syukur dalam kehidupan (6.12.6, 6.12.7)
  • Murid boleh menjelaskan maksud komunikasi dan prinsip komunikasi Islam (6.13.1)
  • Murid boleh menerangkan adab berkomunikasi serta hikmahnya terhadap individu dan masyarakat (6.13.2, 6.13.3)
  • Murid boleh bertanggungjawab dan beradab semasa berkomunikasi, termasuk di media sosial (6.13.4)

Topik ini mengandungi dua pelajaran akhlak. Pelajaran 25: Syukur Pemupuk Iman شكور مڤوبور ايمان. Pelajaran 26: Adab Berkomunikasi ادب بركومونيكاسي. Untuk setiap pelajaran, kita fahami maksud, kenal dalil, huraikan cara atau adab, kenal pasti hikmah dan amalkan dalam kehidupan harian.

18.1Syukur pemupuk iman شكور مڤوبور ايمان

Maksud syukur مقصود شكور

Dari segiMaksud syukur (buku teks, ms. 197)
Bahasa بهاسPujian ڤوجين
Istilah ايستيلهMenzahirkan pujian kepada Allah SWT terhadap nikmat yang dikurniakan serta mematuhi semua perintah-Nya.
Syukur bukan sekadar menyebut "alhamdulillah". Syukur ialah pujian kepada Allah SWT dan ketaatan kepada perintah-Nya.

Dalil naqli tentang syukur دليل نقلي

1. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 152:

Surah al-Baqarah ayat 152: ingatlah Aku, bersyukurlah kepada-Ku dan jangan kufur
Surah al-Baqarah, 2: ayat 152.

Ayat: buku teks, ms. 197.

Maksud: Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.

2. Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA:

Hadis: orang yang makan dan bersyukur diberi pahala seperti orang berpuasa yang sabar
Hadis tentang orang yang makan dan bersyukur (riwayat al-Bukhari).

Hadis: buku teks, ms. 197.

Maksud: Seorang yang makan dan bersyukur atas nikmat itu, maka dia diberi pahala yang sama seperti orang berpuasa yang bersabar.

Janji Allah SWT bagi orang yang bersyukur جنجي الله ﷻ باڬي اورڠ يڠ برشكور

Surah Ibrahim ayat 7: jika kamu bersyukur Aku tambah nikmat, jika kufur azab-Ku sangat keras
Surah Ibrahim, 14: ayat 7.

Jika kamu bersyukur, Allah SWT akan menambah nikmat-Nya. Jika kamu kufur (tidak bersyukur), azab-Nya sangat keras.

Ayat: buku teks, ms. 198. Prisma ilmu (ms. 198) menyenaraikan ayat tentang kisah nabi yang bersyukur: al-Isra' 17:3, al-A'raf 7:144, an-Nahl 16:120-121, al-Naml 27:40 dan Saba' 34:13.

Jangan keliru syukur dengan kufur. Syukur menambah nikmat dan pahala; kufur (mengingkari nikmat) mengundang azab yang keras.

Contoh sifat syukur Rasulullah SAW چونتوه صيفت شكور رسول الله ﷺ

ContohPerihal (buku teks, ms. 198)
1. Solat malam hingga kaki bengkakRasulullah SAW bersolat malam sehingga kedua-dua kaki baginda bengkak. Aisyah RA bertanya mengapa baginda berbuat demikian, padahal Allah SWT telah mengampunkan dosa-dosa baginda yang lalu dan yang akan datang. Baginda bersabda: "Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur?"
2. Menyeru umat bersyukur dan berterima kasih kepada sesama makhlukRasulullah SAW sentiasa menyeru umatnya supaya bersyukur, sama ada kepada sesama makhluk atau kepada Pencipta. Usamah bin Zaid RA meriwayatkan bahawa sesiapa yang diberi kebaikan lalu berkata kepada pemberinya "Jazakallahu khairan" (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka perkara itu membuktikan kesungguhannya dalam berterima kasih.
Mengapakah Rasulullah SAW bersolat malam sehingga kaki bengkak walaupun dosa baginda telah diampunkan?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Kerana baginda ingin menjadi hamba yang bersyukur (baginda bersabda, "Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur?"). Syukur ditunjukkan dengan banyak beribadah kepada Allah SWT.

Cara dan contoh bersyukur چارا دان چونتوه برشكور

Seseorang hamba boleh bersyukur melalui tiga cara: hati, lisan dan perbuatan.

CaraContoh (buku teks, ms. 199)
Melalui hati ملالوئي هاتيYakin bahawa nikmat yang diterima adalah daripada Allah SWT; ingat dan memuji Allah SWT; bersangka baik dengan Allah SWT; meningkatkan ketakwaan kepada-Nya.
Melalui lisan ملالوئي ليسنMenyebut dan memuji Allah SWT dengan berzikir; berdoa agar Allah SWT mengurniakan sifat syukur; mengucapkan terima kasih kepada manusia; bercakap dengan kata-kata yang baik.
Melalui perbuatan ملالوئي ڤربواتنMenunaikan amalan fardu dengan sempurna dan istiqamah; memperbanyak amal sedekah; melakukan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya; melakukan sujud syukur apabila mendapat nikmat atau terlepas daripada musibah.

Jadual: dirumus daripada buku teks, ms. 199.

Doa selepas solat fardu. Rasulullah SAW mengajar Muaz bin Jabal RA doa ini supaya dibaca selepas setiap solat fardu:
Doa: Ya Allah, bantulah aku untuk berzikir, bersyukur dan beribadah dengan baik kepada-Mu
Maksudnya: Ya Allah, tolonglah aku untuk berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah kepada-Mu dengan sebaik-baiknya. (riwayat Abu Daud, ms. 199)

Prisma ilmu: lima asas syukur ڤريسما علمو: ليم اساس شكور

Syukur dibina atas lima asas (Madarij al-Salikin, buku teks ms. 199): 1. merendah diri dan tunduk kepada Allah SWT; 2. mencintai Allah SWT; 3. mengakui nikmat yang diterima; 4. memuji Allah SWT atas nikmat itu; 5. tidak menggunakan nikmat pada perkara yang dimurkai Allah SWT.

Prisma ilmu: cerita Abu Hazim, syukur anggota badan ڤريسما علمو: چريتا ابو حازم

Seorang lelaki bertanya kepada Abu Hazim bagaimana anggota badan bersyukur (buku teks, ms. 197):

  • Mata: jika melihat kebaikan, bicarakanlah (sebutlah) kebaikan itu; jika melihat keburukan, tutupilah.
  • Telinga: jika mendengar kebaikan, peliharalah; jika mendengar keburukan, hindarilah.
  • Tangan: jangan mengambil hak yang bukan milik kita dan jangan mengabaikan hak Allah SWT pada tangan itu (contohnya zakat dan sedekah).

Ciri orang yang bersyukur چيري اورڠ يڠ برشكور

Seorang remaja lelaki memasukkan wang ke dalam tabung di masjid
Bersedekah ialah tanda orang yang bersyukur (pemurah).

Foto: buku teks, ms. 200.

Ciri (buku teks, ms. 200)Penerangan ringkas
Sentiasa berasa qanaah dengan kurniaan Allah SWTBerpuas hati dengan rezeki yang diberi.
Bersangka baik dengan kejayaan orang lainTidak iri hati; turut bergembira.
Menjadi seorang yang pemurahMudah berbelanja dan bersedekah.
Sentiasa bertawakal kepada Allah SWTBerusaha, kemudian berserah kepada Allah SWT.
Rajin dan tekun beribadahTidak malas menunaikan ibadah.
Doa pagi hari (riwayat Ibnu Hibban, ms. 200). Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW bersabda bahawa sesiapa yang membaca doa ini ketika pagi hari, dia sesungguhnya telah menunaikan kesyukurannya pada hari itu:
Doa pagi: Ya Allah, apa-apa nikmat yang ada padaku atau pada mana-mana makhluk-Mu adalah daripada-Mu semata-mata
Maksudnya: Ya Allah, apa-apa nikmat yang ada padaku atau pada mana-mana makhluk-Mu adalah daripada-Mu sahaja, tiada sekutu bagi-Mu. Maka bagi-Mu segala pujian dan bagi-Mu segala kesyukuran.

Hikmah bersyukur حكمه برشكور

  1. Hidup dalam keredaan dan rahmat Allah SWT kerana sentiasa beramal soleh.
  2. Dikurniakan ganjaran pahala oleh Allah SWT kerana bersungguh-sungguh menjalankan perintah-Nya.
  3. Dimurahkan rezeki dan bertambah nikmat kerana sentiasa reda dengan qada dan qadar Allah SWT.
  4. Selamat daripada azab Allah SWT kerana bertambahnya keimanan dalam diri.

Buku teks, ms. 201.

Menggunakan nikmat sebagai tanda syukur مڠڬوناكن نعمت سباڬاي تندا شكور

NikmatContoh bersyukur (buku teks, ms. 201)
HatiBerusaha memahami kebaikan, suruhan dan larangan Allah SWT.
MataMelihat tanda kekuasaan Allah SWT dan membaca serta memahami ayat al-Quran.
TelingaMendengar ayat al-Quran dan nasihat agama.
KepandaianMengajar rakan yang kurang pandai.
HartaBersedekah dan berzakat.

Aktiviti: rumah Ahmad dilanda banjir اكتيۏيتي

Rumah Ahmad dilanda banjir dan semua hartanya musnah, tetapi tiada kemalangan jiwa. Seorang yang bersyukur akan: bersabar dan reda dengan qada dan qadar Allah SWT, bersyukur kerana keluarganya selamat, berdoa dan berusaha membaiki kehidupan, serta menerima bantuan dengan berterima kasih. (aktiviti buku teks, ms. 202)

Namakan tiga cara bersyukur dan beri satu contoh bagi setiap cara.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Hati: yakin nikmat daripada Allah SWT. Lisan: berzikir dan mengucap alhamdulillah / berterima kasih. Perbuatan: bersedekah, menunaikan fardu atau sujud syukur.

18.2Adab berkomunikasi ادب بركومونيكاسي

Maksud komunikasi مقصود كومونيكاسي

Dari segiMaksud komunikasi (buku teks, ms. 203)
Bahasa بهاسPerhubungan ڤرهوبوڠن
Istilah ايستيلهPerhubungan antara dua individu atau lebih, secara langsung atau melalui perantaraan seperti e-mel, surat, radio dan telefon.

Prinsip komunikasi Islam ڤرينسيڤ كومونيكاسي اسلام

Islam menetapkan enam prinsip komunikasi (buku teks, ms. 203). Semuanya bermula dengan perkataan qawlan (perkataan).

Gambar rajah enam prinsip komunikasi Islam: qawlan sadida, baligha, layyina, maysura, maaruufa dan karima
Prinsip komunikasi Islam.

Rajah: buku teks, ms. 203.

PrinsipMaksudContoh
Qawlan sadida قولا سديداKata-kata yang benar, jujur, tidak bohong dan tidak berbelit-belitMenyatakan fakta yang tepat
Qawlan baligha قولا بليغاKata-kata yang tepat mengena sasaran, memberi kesan kepada jiwaNasihat yang sesuai dengan keadaan pendengar
Qawlan layyina قولا ليّناKata-kata dengan bahasa yang lemah lembutMenegur dengan sopan
Qawlan maysura قولا ميسوراKata-kata dengan bahasa yang mudah difahamiMenggunakan ayat yang jelas
Qawlan ma'rufa قولا معروفاKata-kata yang baikBerkata baik atau diam
Qawlan karima قولا كريماKata-kata yang muliaMenghormati ibu bapa dan guru
Hafaz ikut urutan buku teks dengan kata kunci: benar (sadida), kena (baligha), lembut (layyina), mudah (maysura), baik (ma'rufa), mulia (karima).
Apakah qawlan yang membawa maksud "kata-kata yang menggunakan bahasa yang mudah difahami"?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Qawlan maysura (ms. 203). Qawlan layyina pula ialah bahasa yang lemah lembut.

Adab berkomunikasi ادب بركومونيكاسي

Adab (buku teks, ms. 204-205)Penerangan dan contoh
1. Tidak melalaikan ibadah dan tanggungjawabContohnya menjaga solat dan tidak mengabaikan tugasan atau perintah ibu bapa walaupun sibuk berbual atau menggunakan telefon.
2. Menggunakan bahasa yang sesuai dan sopanKata-kata yang penuh hikmah dan mengandungi nasihat yang baik; menjauhi perdebatan dan gurauan yang berlebihan.
3. Kesesuaian masa dan tempatMengelak penggunaan gajet semasa di dalam masjid, semasa menunggang motosikal dan semasa kunjungan hari raya.
4. Memastikan kesahihan maklumatMengamalkan prinsip "saring sebelum sebar"; tidak menyebarkan maklumat palsu; menjauhi perkataan dusta dan bohong.
5. Tidak menyebarkan fitnah dan membuka aibMenghindari gosip, kutukan, mengadu domba dan tidak memanggil seseorang dengan panggilan yang tidak disukainya.

Jadual: dirumus daripada buku teks, ms. 204-205.

Surah Qaf ayat 18: tiada sepatah perkataan yang dilafazkan melainkan ada malaikat pengawas yang sedia mencatat
Surah Qaf, 50: ayat 18.

Ayat: buku teks, ms. 205.

Maksud ayat: Tiada sepatah perkataan yang dilafazkan melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia menerima dan menulisnya. Hadis riwayat Abu Hurairah RA (muttafaq 'alaih): sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.

Sebarang mesej yang menjanjikan kekayaan jika dihantar kepada beberapa orang ialah mesej berantai yang tidak benar. Jangan sebarkan: ia melanggar adab memastikan kesahihan maklumat (ms. 208).
Seorang murid menerima berita tanpa sumber lalu terus menyebarkannya. Adab komunikasi yang manakah dilanggar?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Adab memastikan kesahihan maklumat. Murid itu perlu "saring sebelum sebar" dan tidak menyebarkan maklumat palsu.

Hikmah beradab ketika berkomunikasi حكمه برادب كتيك بركومونيكاسي

TerhadapHikmah (buku teks, ms. 206)
Individu اينديۏيدوMeningkatkan ilmu pengetahuan supaya dapat membezakan antara baik dengan buruk; mendapat keredaan Allah SWT kerana menggunakan adab yang mulia; melahirkan individu berakhlak mulia yang menjadi contoh; dapat menyelesaikan masalah dengan mudah kerana saling bertolak ansur; dihormati oleh masyarakat kerana berperibadi unggul.
Masyarakat مشاركتHidup dalam keadaan aman dan harmoni kerana persefahaman; dapat bertukar-tukar pendapat supaya masyarakat maju dan makmur; menjauhi salah faham supaya hidup bersatu padu; menimbulkan kemesraan dan mengukuhkan perpaduan kerana saling bertoleransi.

Aktiviti: berkomunikasi dengan tiga golongan اكتيۏيتي

Buku teks (ms. 207) memberi tiga situasi: murid dengan orang tua (seorang tua terbaring di tepi jalan), murid dengan rakan (meminta bantuan meminjam alat tulis) dan murid dengan guru (guru bertanya sebab murid tidak hadir). Dalam semua situasi, gunakan bahasa yang sopan, jujur dan jelas, serta pilih masa dan tempat yang sesuai.

Nyatakan dua hikmah beradab ketika berkomunikasi terhadap masyarakat.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Mana-mana dua: hidup aman dan harmoni; dapat bertukar pendapat supaya masyarakat maju; menjauhi salah faham supaya bersatu padu; mengukuhkan perpaduan dengan saling bertoleransi.

Rumusan روموسن

Pelajaran 25: Syukur Pemupuk ImanPelajaran 26: Adab Berkomunikasi
MaksudBahasa: pujian. Istilah: menzahirkan pujian kepada Allah SWT atas nikmat serta mematuhi perintah-Nya.Bahasa: perhubungan. Istilah: perhubungan antara dua individu atau lebih secara langsung atau melalui perantaraan.
DalilAl-Baqarah 2:152; Ibrahim 14:7; hadis al-Bukhari (makan dan bersyukur).Qaf 50:18; hadis berkata baik atau diam.
Isi utamaCara: hati, lisan, perbuatan. Ciri: qanaah, bersangka baik, pemurah, bertawakal, tekun beribadah.Prinsip: sadida, baligha, layyina, maysura, ma'rufa, karima. Adab: 5 perkara.
HikmahKeredaan dan rahmat, ganjaran pahala, rezeki dimurahkan, selamat daripada azab.Individu: ilmu, keredaan Allah, akhlak mulia. Masyarakat: harmoni, maju, bersatu padu.
AmalanBerdoa selepas solat fardu; sujud syukur; bersedekah.Saring sebelum sebar; berkata baik atau diam.