myUASARevision for UASAUlang kaji UASA
Biologi notesnota, bab 8

Biodiversiti

Notes made with reference toNota dibuat dengan rujukan kepada TextbookBuku teks Biologi Tingkatan 5 (KSSM), pageshalaman 142–167

What this chapter coversMatlamat bab ini

  • Saya boleh menjelaskan keperluan sistem pengelasan dan penamaan organisma, dan menyebut tiga bahagian taksonomi (8.1.1)
  • Saya boleh mengelaskan organisma ke dalam enam alam dan menghuraikan ciri utama setiap alam (8.1.2, 8.1.3)
  • Saya boleh menyusun hierarki taksonomi daripada domain hingga spesies (8.1.3)
  • Saya boleh menamakan organisma menggunakan sistem tatanama binomial dan menulis nama saintifik dengan betul (8.1.4)
  • Saya boleh menggunakan dan membina kekunci dikotomi untuk mengecam organisma (8.1.5)
  • Saya boleh menerangkan diversiti genetik, diversiti spesies dan diversiti ekosistem (8.2.1)
  • Saya boleh menerangkan maksud pokok filogeni dan struktur homolog (8.2.2)
  • Saya boleh menjelaskan kepentingan biodiversiti kepada alam sekitar dan manusia serta langkah pemuliharaan in situ dan ex situ (8.2.3)
  • Saya boleh menghuraikan ciri utama bakteria, protozoa, alga, kulat dan virus (8.3.1)
  • Saya boleh menerangkan peranan mikroorganisma dalam kitar nitrogen (8.3.2)
  • Saya boleh menerangkan peranan mikroorganisma sebagai pengeluar, pengurai, parasit dan simbion (8.3.3)
  • Saya boleh mendefinisikan patogen dan vektor serta menghuraikan kesan patogen terhadap kesihatan manusia (8.3.4, 8.3.5)

8.1Sistem pengelasan dan penamaan organisma

Biodiversiti ialah kepelbagaian jenis hidupan seperti mikroorganisma, haiwan atau tumbuhan yang berinteraksi antara satu sama lain. Taksonomi ialah satu bidang biologi yang melibatkan pengelasan, pengecaman dan penamaan organisma mengikut satu sistem yang teratur.
Bahagian taksonomiAlat yang digunakan
PengelasanSistem hierarki taksonomi (ciri yang boleh diperhatikan)
PengecamanKekunci dikotomi
PenamaanSistem tatanama binomial

Semua organisma dikelaskan secara saintifik ke dalam kumpulan berdasarkan ciri yang serupa. Dengan itu kajian dan perbincangan dapat dibuat pada peringkat antarabangsa. Carolus Linnaeus dikenali sebagai Bapa Taksonomi kerana mencipta sistem penamaan organisma yang digunakan sehingga kini (8.1.1).

Enam alam

Organisma dikelaskan ke dalam enam alam (kingdom) berdasarkan tiga ciri: jenis sel, bilangan sel dan jenis nutrisi (8.1.2).

AlamJenis selBilangan selNutrisiCiri utama dan contoh
ArchaebacteriaProkariotUniselAutotrof atau heterotrofBakteria primitif; dinding sel tiada peptidoglikan; habitat sangat panas, berasid, masin atau anaerob. Tiga kumpulan: metanogen, halofil, termofil. Sulfolobus sp., Halobacterium salinarum
EubacteriaProkariotUnisel, biasanya berkoloniAutotrof atau heterotrofBakteria sebenar; dinding sel peptidoglikan (murein); sitoplasma ada ribosom dan plasmid tetapi tiada organel bermembran. Streptococcus pneumoniae, Vibrio cholerae
ProtistaEukariotUnisel atau multiselAutotrof, heterotrof atau kedua-duanyaOrganisasi sel ringkas, tiada tisu khusus; protozoa, alga dan kulapuk lendir. Amoeba sp., Spirogyra sp., Physarum polycephalum
FungiEukariotUnisel atau multiselHeterotrof (saprofit atau parasit)Dinding sel kitin; badan terdiri daripada jaringan hifa yang disebut miselium. Yis (Saccharomyces cerevisiae), cendawan (Agaricus sp.)
PlantaeEukariotMultiselAutotrof (fotosintesis)Ada klorofil; pembiakan aseks atau seks. Paku pakis, tumbuhan berbunga
AnimaliaEukariotMultiselHeterotrofKebanyakan boleh bergerak dan membiak secara seks. Invertebrata dan vertebrata
Prokariot: sejenis sel yang tidak mempunyai nukleus yang terbungkus dalam membran dan organel yang bermembran. Eukariot: sel yang mempunyai nukleus dan organel yang dikelilingi oleh membran. Autotrof mensintesiskan makanan sendiri; heterotrof memperoleh makanan daripada organisma lain.
Hanya Archaebacteria dan Eubacteria ialah prokariot. Protista, Fungi, Plantae dan Animalia semuanya eukariot.
Peptidoglikan (murein) terdapat pada dinding sel Eubacteria. Dinding sel Archaebacteria tidak mempunyai peptidoglikan.

Ciri utama setiap alam

  • Archaebacteria terbahagi kepada tiga kumpulan mengikut habitat. Metanogen ialah bakteria anaerob obligat yang dijumpai di kawasan paya dan saluran pencernaan haiwan ruminan serta manusia; metana dihasilkan sebagai hasil sampingan metabolisme. Halofil hidup di kawasan yang sangat masin seperti Laut Mati. Termofil tahan suhu tinggi (suhu optimum 60 °C hingga 80 °C) dan dijumpai di mata air panas dan berasid.
  • Eubacteria dikelaskan mengikut bentuk. Protista dibahagikan kepada protozoa, alga dan kulapuk lendir.
  • Fungi (kulat) bukan tumbuhan: tiada klorofil, jadi heterotrof. Plantae pula fotoautotrof kerana mempunyai klorofil.

Whittaker (1969) memperkenalkan sistem lima alam (Monera, Protista, Fungi, Plantae dan Animalia). Carl Woese (1990) memecahkan alam Monera kepada bakteria dan archaebacteria kerana terdapat perbezaan antara RNA dalam kedua-dua kumpulan, lalu terbentuk sistem enam alam.

Hierarki taksonomi

Sistem hierarki Linnaeus mengelaskan organisma bermula daripada yang paling umum (domain) hingga yang paling khusus (spesies). Urutan: domain, alam, filum, kelas, order, famili, genus, spesies (8.1.3).

Hierarki taksonomi beruang perang: domain Eukarya, alam Animalia, filum Chordata, kelas Mamalia, order Carnivora, famili Ursidae, genus Ursus, spesies Ursus arctos
Rajah 8.3 Hierarki taksonomi. Semakin ke bawah, bilangan organisma dalam kumpulan semakin berkurangan dan hubungan genetik semakin rapat.

Rajah daripada buku teks Biologi Tingkatan 5 (KSSM), m.s. 149.

Spesies ialah peringkat terkecil dalam pengelasan. Organisma dalam spesies yang sama dapat saling membiak dan menghasilkan keturunan yang subur.
Contoh: beruang perangDomain Eukarya, alam Animalia, filum Chordata, kelas Mamalia, order Carnivora, famili Ursidae, genus Ursus, spesies Ursus arctos.
Cara mengingat: Dia Ambil Filem Kung fu Orang Famous Gaya Samurai (domain, alam, filum, kelas, order, famili, genus, spesies).

Sistem tatanama binomial

  1. Nama saintifik terdiri daripada dua perkataan: nama genus dahulu, kemudian nama spesies.
  2. Nama genus bermula dengan huruf besar; nama spesies bermula dengan huruf kecil.
  3. Dalam bentuk cetakan nama ditulis dalam huruf italik. Jika ditulis dengan tangan, kedua-dua nama digaris secara berasingan.
Nama biasaTulisanCetakan
Burung pekaka cit-citAlcedo atthisAlcedo atthis
PadiOryza sativaOryza sativa
Pokok bunga terataiNelumbo nuciferaNelumbo nucifera
Pokok bunga matahariHelianthus annuusHelianthus annuus
Menulis Oryza Sativa, atau menggaris kedua-dua perkataan dengan satu garis panjang. Hanya genus bermula dengan huruf besar dan setiap perkataan digaris berasingan apabila ditulis dengan tangan.

Harimau Malaya dinamakan Panthera tigris jacksoni; nama itu juga diberikan berdasarkan ciri, habitat, negara asal atau untuk mengenang orang yang mengkajinya.

Kekunci dikotomi

Kekunci dikotomi ialah alat yang digunakan oleh ahli taksonomi untuk pengecaman organisma berdasarkan persamaan dan perbezaan. Kekunci dibina daripada siri kuplet: setiap kuplet terdiri daripada dua pernyataan tentang ciri organisma. Pilih ciri yang mudah diperiksa dan dilihat dan elakkan ciri yang bertindih dalam organisma yang berlainan (8.1.5).

KupletPernyataanRujuk / jawapan
1aHaiwanRujuk 2
1bTumbuhanRujuk 6
2aMempunyai kakiRujuk 3
2bTidak mempunyai kakiRujuk 5
3aTiga pasang kakiRujuk 4
3bLebih daripada tiga pasang kakiLabah-labah
4aBersayapRama-rama
4bTidak bersayapSemut
5aBercangkerangSiput
5bTidak bercangkerangCacing tanah
6aBerbiji benihRujuk 7
6bTidak berbiji benihPaku pakis
7aTumbuhan berbungaBunga raya
7bTumbuhan tidak berbungaPokok pinus

Jadual berdasarkan Rajah 8.4, m.s. 151.

Kekunci yang sama boleh dilukis sebagai kekunci labah-labah (carta bercabang).

Kekunci dikotomi dalam bentuk kekunci labah-labah: haiwan dan tumbuhan bercabang kepada rama-rama, semut, labah-labah, siput, cacing tanah, paku pakis, bunga raya dan pokok pinus
Rajah 8.5 Contoh kekunci dikotomi dalam bentuk kekunci labah-labah.

Rajah daripada buku teks Biologi Tingkatan 5 (KSSM), m.s. 152.

Gunakan kekunci di atas. Bagaimanakah pokok pinus dikenal pasti? Dan labah-labah?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Pokok pinus: 1b (tumbuhan), berbiji benih (kuplet 6a dalam jadual, 6b dalam kekunci labah-labah), 7b (tidak berbunga). Labah-labah: 1a (haiwan), 2a (mempunyai kaki), 3b (lebih daripada tiga pasang kaki).
Berikan dua ciri organisma yang tergolong dalam alam Fungi.
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Mana-mana dua: eukariot; unisel atau multisel; heterotrof (saprofit atau parasit); dinding sel daripada kitin; badan terdiri daripada miselium (jaringan hifa).

8.2Biodiversiti

JenisMaksudContoh
Diversiti genetikVariasi gen individu dalam suatu populasi dan variasi gen antara populasi yang berbeza bagi sesuatu spesies yang sama. Tiada dua individu yang serupa dalam spesies yang sama.Kombinasi gen-gen yang berlainan dalam pokok padi menghasilkan banyak variasi beras di seluruh dunia
Diversiti spesiesJumlah bilangan spesies dalam komuniti (kekayaan spesies) dan taburan spesies dalam komuniti (kesamarataan spesies)Hutan hujan tropika: 5 hingga 10 juta spesies serangga dan lebih daripada 2 juta spesies tumbuhan berbunga
Diversiti ekosistemPelbagai habitat, komuniti biosis dan proses ekologi dalam ekosistem di persekitaran daratan, lautan dan akuatik lainEkosistem laut, padang pasir dan paya bakau
Ingat: gen (dalam satu spesies) = genetik; bilangan dan taburan spesies = spesies; habitat dan proses ekologi = ekosistem (8.2.1).

Pokok filogeni

Filogeni ialah sejarah evolusi suatu spesies atau sekumpulan spesies organisma. Pokok filogeni ialah rajah bercabang yang mewakili hipotesis tentang hubungan evolusi sekumpulan organisma. Corak cabangnya mencerminkan cara spesies atau kumpulan lain berkembang daripada satu siri leluhur yang sama.

Pengelasan filogeni dibuat berdasarkan struktur homolog: struktur anggota badan yang serupa dalam pelbagai organisma yang mempunyai leluhur yang sama, namun menjalankan fungsi yang berlainan. Anggota hadapan manusia, kucing, ikan paus dan kelawar mempunyai jenis tulang yang sama (humerus, radius, ulna, karpal, metakarpal, falanks) walaupun saiz dan panjang tulang berbeza (8.2.2).

Anggota hadapan manusia, kucing, ikan paus dan kelawar dengan tulang humerus, radius, ulna, karpal, metakarpal dan falanks berlabel
Rajah 8.6 Struktur homolog dalam organisma berlainan.

Rajah daripada buku teks Biologi Tingkatan 5 (KSSM), m.s. 153.

Tumbuhan darat dikatakan berevolusi daripada alga hijau. Tumbuhan darat pertama ialah tumbuhan tanpa tisu vaskular (lumut), kemudian tumbuhan vaskular tanpa biji benih (paku pakis), dan akhir sekali tumbuhan vaskular berbiji benih: gimnosperma (biji benih tanpa bunga) dan angiosperma (biji benih dengan bunga). Angiosperma ialah yang paling berjaya kerana biji benihnya dilindungi dalam buah untuk mengekalkan kemandiriannya.

Pokok filogeni tumbuhan darat: alga hijau sebagai leluhur sepunya bercabang kepada lumut, paku pakis, gimnosperma dan angiosperma
Rajah 8.7 Pokok filogeni tumbuhan darat.

Rajah daripada buku teks Biologi Tingkatan 5 (KSSM), m.s. 154.

Kepentingan biodiversiti dan pemuliharaannya

  • Biodiversiti ialah sumber makanan, ubat-ubatan dan pendidikan; memelihara keseimbangan alam; dijadikan tempat rekreasi dan digunakan dalam penyelidikan saintifik (8.2.3).
  • Pemuliharaan in situ mengekalkan spesies di habitat asal, contohnya di taman negara dan hutan simpan kekal. Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok ialah contoh dalam buku teks.
  • Pemuliharaan ex situ memelihara spesies di luar habitat asal, contohnya di zoo dan taman botani.
  • Ancaman terhadap biodiversiti ialah penebangan hutan, pemburuan haram, pencemaran laut dan eksploitasi biodiversiti dalam pelancongan.
Seekor harimau dipelihara di zoo dan seekor lagi hidup di taman negara. Yang manakah pemuliharaan in situ?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Harimau di taman negara kerana kekal di habitat asalnya. Zoo ialah pemuliharaan ex situ.

8.3Mikroorganisma dan virus

Mikroorganisma ialah organisma seni yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan hanya dapat dilihat melalui mikroskop. Kebanyakannya unisel. Jenisnya ialah bakteria, protozoa, alga, kulat dan virus.

Ciri utama mikroorganisma dan virus

KumpulanCiri utama
BakteriaTiada membran nukleus; kromosom (DNA) dalam sitoplasma disebut nukleoid; ada plasmid (molekul DNA kecil yang membawa gen tambahan). Saiz 1 hingga 10 µm panjang. Wujud sebagai sel tunggal, berpasangan, berfilamen, berantai atau berkelompok. Bentuk: kokus (sfera), vibrio (koma), basilus (rod) dan spirilum (pilin)
ProtozoaUnisel dengan ciri seperti haiwan; bergerak dengan pseudopodium (Amoeba sp.), silia (Paramecium sp.) atau flagelum (Euglena sp.); habitat berair; heterotrof atau autotrof (Euglena sp. ada kloroplas); hidup bebas atau sebagai parasit
AlgaUnisel (Chlamydomonas sp.) atau multisel (Fucus sp.); ada kloroplas maka autotrof; ada flagelum untuk bergerak di dalam air (sesetengah alga); tiada daun, batang dan akar sebenar; habitat kolam, tasik dan laut
KulatTiada klorofil, maka heterotrof (parasit atau saprofit); tiada akar, batang dan daun; dinding sel kitin; badan ialah miselium yang terdiri daripada hifa; dijumpai di kawasan gelap atau lembap dan di atas organisma yang reput atau mati. Unisel: yis; multisel: Mucor sp.
VirusBukan organisma bersel, maka tidak dimasukkan ke dalam mana-mana alam; terdiri daripada asid nukleik (DNA atau RNA) dan kapsid protein; saiz 20 nm hingga 400 nm, hanya dapat dilihat dengan mikroskop elektron; tidak menjalankan proses hidup di luar sel perumah dan hanya membiak di dalam sel hidup. Contoh: virus mozek tembakau, bakteriofaj T4, HIV
Struktur am bakteria: kapsul, dinding sel, membran plasma, sitoplasma, ribosom, nukleoid, plasmid dan flagelum
Rajah 8.8 Struktur am bakteria.

Rajah daripada buku teks Biologi Tingkatan 5 (KSSM), m.s. 156.

Mengatakan virus ialah sejenis bakteria atau "sel yang kecil". Virus tidak mempunyai struktur sel dan tidak menjalankan proses hidup di luar sel perumah.
Contoh: bandingkan saiz virus dengan bakteria1 µm = 1000 nm. Virus terbesar ialah 400 nm. Bakteria terkecil ialah 1 µm = 1000 nm.
1000 ÷ 400 = 2.5, jadi bakteria terkecil sekurang-kurangnya 2.5 kali lebih panjang daripada virus terbesar. Virus 200 nm = 200 ÷ 1000 = 0.2 µm.

Peranan mikroorganisma dalam kitar nitrogen

Tumbuhan memerlukan nitrogen dalam bentuk ion ammonium (NH4+) atau ion nitrat (NO3−) yang larut di dalam tanah untuk mensintesiskan protein (8.3.2).

Kitar nitrogen: nitrogen atmosfera diikat oleh kilat dan bakteria pengikat nitrogen; pengurai menghasilkan ammonium; Nitrosomonas menghasilkan nitrit; Nitrobacter menghasilkan nitrat; bakteria pendenitritan memulangkan nitrogen ke atmosfera
Rajah 8.14 Kitar nitrogen.

Rajah daripada buku teks Biologi Tingkatan 5 (KSSM), m.s. 159.

ProsesApa yang berlakuMikroorganisma
Pengikatan nitrogenNitrogen atmosfera (N2) ditukarkan kepada ion ammonium (NH4+)Rhizobium sp. (nodul akar tumbuhan legum); Azotobacter sp. (hidup bebas dalam tanah)
AmmonifikasiProtein dalam tisu organisma mati dan bahan buangan diuraikan menjadi ion ammoniumPengurai (bakteria dan kulat saprofit)
Nitrifikasi (1)Ion ammonium kepada ion nitrit (NO2−)Nitrosomonas sp.
Nitrifikasi (2)Ion nitrit kepada ion nitrat (NO3−)Nitrobacter sp.
PendenitritanNitrat dalam tanah ditukarkan kepada gas nitrogenBakteria pendenitritan

Kilat mengoksidakan nitrogen kepada nitrogen dioksida yang larut dalam air hujan lalu membentuk asid nitrus dan asid nitrik, dan seterusnya garam dalam tanah. Industri baja bernitrogen juga membekalkan ammonium dan nitrat. Akar tumbuhan menyerap nitrat untuk sintesis protein; tumbuhan dimakan haiwan, dan sebahagian nitrogen dipindahkan ke dalam tisu haiwan.

Urutan penukaran: N2 → NH4+ → NO2− → NO3− → N2. Tumbuhan legum ditanam untuk menyuburkan tanah kerana nodul akarnya mengandungi bakteria pengikat nitrogen.

Peranan mikroorganisma yang lain

  • Pengeluar: fitoplankton (alga hijau, alga biru-hijau atau sianobakteria, dinoflagelat dan diatom) terapung di permukaan air dan menjalankan fotosintesis kerana ada klorofil. Fitoplankton penting sebagai pengeluar dalam rantai makanan ekosistem akuatik (8.3.3).
  • Pengurai: kulat saprofit dan bakteria saprofit merembeskan enzim pencernaan ke dalam bahan organik yang reput dan menyerap hasil pencernaan itu. Karbon, nitrogen dan sulfur dikembalikan kepada tanah dan kemudian diserap oleh tumbuhan.
  • Parasit: organisma yang mendapat faedah daripada perumahnya, manakala perumah mengalami kerugian atau kadangkala mati. Parasit mendapat faedah selagi interaksi berterusan, maka kebanyakan parasit tidak membunuh perumahnya. Plasmodium sp. (protozoa) hidup dalam perut nyamuk tiruk betina Anopheles sp. dan menyebabkan malaria.
  • Simbion: organisma yang mempunyai hubungan sangat rapat dengan organisma lain yang disebut perumah. Ektosimbion hidup di luar sel perumah (kulat ektomikoriza di sekeliling akar tumbuhan). Endosimbion hidup di dalam sel perumah (protozoa Trichonympha sp. dalam salur alimentari anai-anai).

Patogen dan vektor

Patogen ialah organisma yang menyebabkan penyakit, contohnya virus, bakteria, protozoa dan kulat. Vektor ialah organisma yang membawa patogen dan menyebabkan penyakit tertentu (8.3.4).
VektorPatogenPenyakit
Lalat (Musca domestica)Bakteria Vibrio choleraeKolera
Nyamuk (Aedes aegypti)Virus denggiDenggi
Lipas (Periplaneta americana)Bakteria Salmonella typhiTifoid

Patogen menjejaskan kesihatan apabila sel badan rosak. Virus memusnahkan atau mengganggu fungsi sel badan; sesetengah patogen merembeskan toksin yang menyebabkan kelumpuhan atau merosakkan aktiviti metabolisme badan (8.3.5).

PatogenContoh penyakitSimptom
VirusHepatitis BRadang (sirosis hati), abdomen membengkak, kulit dan sklera mata menjadi kuning, boleh menyebabkan kematian
BakteriaTuberkulosis (tibi)Hilang berat badan, batuk berdarah, sesak nafas
ProtozoaDisenteriSakit perut, cirit-birit, muntah
KulatPanauTompok-tompok putih atau merah jambu pada kulit

Nyamuk Aedes aegypti yang disuntik dengan bakteria Wolbachia ialah inovasi di Malaysia untuk merencatkan pertumbuhan virus denggi di dalam nyamuk dan menghalang penyebaran denggi.

Namakan vektor dan patogen bagi penyakit denggi. Mengapakah parasit biasanya tidak membunuh perumahnya?
Tunjuk jawapanSembunyi jawapan
Vektor: nyamuk Aedes aegypti. Patogen: virus denggi. Parasit mendapat faedah selagi interaksi dengan perumah berterusan, maka membunuh perumah merugikan parasit.